Modul Falsafah dan Isu Semasa 9789672912064

...
Author: N
63 downloads 98 Views 3MB Size
Hak Cipta PENERBIT UMK, 2020



Hak cipta adalah terpelihara. Setiap bahagian daripada terbitan ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan kepada bentuk lain, sama ada dengan cara elektronik, mekanikal, gambar, rakaman dan sebagainya tanpa mendapat izin daripada Penerbit Universiti Malaysia Kelantan.

Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan MODUL FALSAFAH DAN ISU SEMASA / Penyelenggara NOOR HISHAM MD NAWI. ISBN 978-967-2912-06-4 1. Philosophy. 2. Thought and thinking. 3. Government publications--Malaysia. I. Noor Hisham Md. Nawi. 100

Penerbit Eksekutif: Azman Hashim. Editor Naskhah: Amirul Firdaus Zilah, Raihana Sulaiman, Pengarah Seni: Yusroyka Karim. Pereka: Fatinah Ilias. Pembantu Teknikal: Siti Asma Mohd Rozid.

Diterbitkan oleh: Penerbit UMK Universiti Malaysia Kelantan Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu Karung Berkunci 36, Pengkalan Chepa, 16100 Kota Bharu, Kelantan (Ahli Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM)) (Ahli Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) No. Keahlian : 201903)

KANDUNGAN

SENARAI PENYUMBANG BAB vi PRAKATA viii

BAB 1

PENGENALAN

Noor Hisham Md Nawi

BAB 2

FALSAFAH DALAM KEHIDUPAN

Asma Lailee Mohd Noor & Nur Azuki Yusoff 9

BAB 3

LOGIK DAN FALSAFAH

Mohd Kamil Ahmad & Nurul Iman Mohd Zain 20

BAB 4

FALASI DALAM BERFIKIR

Mohd Kamil Ahmad & Nurul Iman Mohd Zain 28

BAB 5

PSIKOLOGI DAN SOSIOLOGI

(KONSEP INSAN I)

Nik Yusri Musa & Azman Bidin 36

BAB 6

METAFIZIK

(KONSEP INSAN II)

Azman Bidin & Nik Yusri Musa 48



BAB 7

EPISTEMOLOGI Mohd Kamil Ahmad & Nurul Iman Mohd Zain 57

BAB 8

IDEOLOGI RELATIVISME PASCAMODEN

Marwan Ismail 70

BAB 9

DEKOLONISASI

Burhan Che Daud 81

BAB 10 KAJIAN KES TERPILIH Noor Hisham Md Nawi 91

BAB 11

RUMUSAN DAN PENUTUP

Noor Hisham Md Nawi 101

GLOSARI

105

BIODATA PENYELENGGARA 107

SENARAI PENYUMBANG BAB



Noor Hisham Md Nawi Pensyarah Kanan Pusat Bahasa dan Pengajian Insaniah Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Asma Lailee Mohd Noor Pensyarah Kanan Pusat Bahasa dan Pengajian Insaniah Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Nur Azuki Yusoff Pensyarah Kanan Pusat Bahasa dan Pengajian Insaniah Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Mohd Kamil Ahmad Pensyarah Kanan Pusat Bahasa dan Pengajian Insaniah Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Nurul Iman Mohd Zain Pensyarah Kanan Pusat Bahasa dan Pengajian Insaniah Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Nik Yusri Musa Pensyarah Kanan Pusat Bahasa dan Pengajian Insaniah Universiti Malaysia Kelantan (UMK)



Azman Bidin Pensyarah Kanan Pusat Bahasa dan Pengajian Insaniah Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Marwan Ismail Pensyarah Kanan Pusat Bahasa dan Pengajian Insaniah Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Burhan Che Daud Pensyarah Kanan Pusat Bahasa dan Pengajian Insaniah Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

PRAKATA



Segala puji dan syukur yang selayaknya bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabatnya. Penulisan Modul Falsafah dan Isu Semasa merupakan sebahagian daripada usaha yang dilakukan oleh Jabatan Sains Kemanusiaan, Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah (PBI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk membantu pelajar khususnya yang mengambil Kursus USK 10102 Modul Falsafah dan Isu Semasa. UMK adalah antara institut pengajian tinggi (IPT) terawal yang menyambut cabaran untuk menawarkan kursus ini selepas ia diperkenalkan oleh pihak Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) pada tahun 2019 bagi menggantikan kursus TITAS. Kursus ini penting untuk mendedahkan generasi muda Malaysia terhadap cabaran pemikiran dan ideologi yang sedang melanda dunia ketika ini. Antara cabaran besar generasi baharu ialah mempertahan dan mengekalkan jati diri dalam menghadapi gerakan ideologi relativisme pascamoden global yang menisbikan segala bentuk hakikat dan kebenaran dalam kehidupan. Tujuan utama kursus ini ialah mempersiapkan generasi baharu agar berupaya berfikir secara kritikal dan rasional; berhujah secara analitik dan sistematik; bertindak dengan lebih berhikmah dan berhemah dalam menanggapi pelbagai cabaran isu dan ideologi semasa. Oleh kerana kursus ini baharu ditawarkan, maka bahan pengajaran dan pembelajaran adalah terhad. Untuk mengatasi masalah tersebut, Jabatan Sains Kemanusiaan PBI, UMK telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan satu modul yang mematuhi kandungan yang telah ditetapkan dengan beberapa penambahan seperti kajian kes untuk melengkapkan lagi penulisan tersebut. Modul yang mengandungi sebelas bab ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu kontekstualisasi falsafah (Bab 1 dan 2), analisis falsafah (Bab 3, 4, 5, 6 dan 7) dan aplikasi falsafah

mendepani isu semasa (Bab 8, 9,10 dan 11). Adalah diharapkan semoga modul ini dapat memberi sumbangan bermakna kepada para pelajar untuk memahami kursus Falsafah Isu Semasa dengan lebih baik. Modul yang dihasilkan ini jauh daripada sempurna. Justeru, sebarang teguran, pandangan dan cadangan penambahbaikan amat dialu-alukan. Di kesempatan ini, pihak editor ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penulis yang telah memberi sumbangan. Ucapan terima kasih juga buat Ketua Jabatan Sains Kemanusiaan dan Pengarah Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah UMK kerana memberi sokongan padu untuk menerbitkan modul ini. Semoga kebaikan akan melimpah dengan rahmat dan belas daripada Tuhan Semesta Alam. Selamat membaca.

Penyelenggara Noor Hisham Md Nawi

BAB 1

PENGENALAN

Noor Hisham Md Nawi

HASIL PEMBELAJARAN

• Menjelaskan definisi, makna, konsep, tujuan dan sejarah perkembangan ilmu falsafah. • Menjelaskan peranan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai wahana penyediaan rakyat Malaysia mendepani cabaran global abad ke21.Menghuraikan kedudukan dan peranan Rukun Negara • Sebagai rukun-rukun atau tiang-tiang negara pada tahap ‘makro’ yang didirikan di atas asas-asas atau dasar Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai ‘mikro’. • Menganalisis hubungan antara Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Rukun Negara dalam Wawasan Falsafah Sejahtera menggunakan pendekatan ilmu falsafah.



PENDAHULUAN

Bab ini akan menjelaskan konsep-konsep asas mengenai falsafah, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Rukun Negara dan hubungan antara setiap satunya dalam kerangka falsafah. Hubungan antara setiapnya sangat penting dan perlu difahami dengan baik kerana ia adalah kerangka besar kepada keseluruhan kursus ini.



PENGENALAN ILMU FALSAFAH

Dari sudut bahasa, istilah falsafah berasal daripada perkataan Yunani kuno

iaitu philo (cinta) dan sophia (kebenaran, hikmah, kebijaksanaan). Falsafah bukanlah semata-mata merujuk kepada kebijaksanaan atau kebenaran itu sendiri tetapi gabungan dua komponen iaitu kecintaan dan kebenaran. Kombinasi dua unsur tersebut mendorong seseorang atau ahli falsafah untuk memburu hakikat sesuatu, meneliti hubungan sebab dan akibat dan mentafsirkan pengalaman-pengalaman manusia secara mendalam. Dari sudut istilahnya pula, falsafah bermaksud sesuatu ilmu yang mendasar kepada makna sebenar (hakikat) sesuatu perkara sehingga jelas akan makna serta tujuannya. Ini dapat dilihat daripada beberapa pandangan dan pendapat para failasuf (ahli falsafah) sama ada daripada kalangan failasuf Islam mahupun Barat. Dinyatakan beberapa definisi falsafah oleh tokoh-tokoh failasuf yang masyhur:

1. Falsafah adalah pengetahuan tentang segala yang ada (Plato, 427 – 347 SM). 2. Falsafah adalah ilmu pengetahuan tentang alam yang maujud dan bertujuan menyelidiki hakikatnya yang sebenar (Al-Farabi, 950 M – meninggal dunia). 3. Falsafah adalah berfikir secara mendalam, sistematik, radikal dan universal dalam rangka mencari kebenaran (Sidi Gazalba, 1978).

Berdasarkan pelbagai definisi yang dikemukakan, bolehlah dirumuskan bahawa falsafah itu ialah ilmu yang menyelidik segala sesuatu dengan terperinci dan mendalam tentang sebab terjadinya sesuatu peristiwa sehingga sebab terakhir dan mutlak ditemukan. Fokus falsafah adalah tentang ketuhanan, alam semesta dan manusia. Falsafah berperanan untuk mencari jawapan kepada permasalahan asasi (ultimate problem) manusia seperti hakikat kehidupan, tujuan kejadian alam dan manusia, dari mana dan hendak ke mana manusia dan seumpamanya. Persoalan-persoalan ini terkeluar daripada permasalahan segera (immediate problem) manusia yang berkait dengan kehidupan seharian seperti persoalan ekonomi, sosial, politik dan lain-lain yang menjadi medan garapan ilmu pengetahuan (Abdul Rahman, 2005). Sebagai rumusan,

falsafah berkait dengan keupayaan untuk menjawab pertanyaan asasi yang timbul dalam pelbagai lapangan kehidupan manusia. Jawapan-jawapan tersebut adalah hasil pemikiran yang menyeluruh, sistematik, mendasar dan spekulatif. Falsafah mengandungi atau menghuraikan tiga perkara penting sebagai objek kajiannya iaitu metafizik (hakikat kewujudan), epistemologi (sumber ilmu dan teori kebenaran) dan aksiologi (teori nilai).



FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dahulunya disebut sebagai Falsafah Pendidikan Negara merupakan dasar pendidikan yang telah dilaksanakan di negara  Malaysia. Falsafah ini digubal pada tahun 1988 oleh pakar-pakar pendidikan. Pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah sebagaimana berikut:

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Pada dasarnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan memberi tumpuan kepada lima perkara asas berikut: 1. Falsafah Pendidikan Kebangsaan berhasrat untuk memupuk insan seimbang dan harmonis melalui kesepaduan ilmu dan pendidikan secara berterusan. 2. Kesepaduan serta keseimbangan harmonis tersebut merujuk kepada

empat aspek utama yang menyentuh asas jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). 3. Asas utama kesepaduan JERI untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis adalah berpaksikan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. 4. Hasil daripada ini akan memperlihatkan keberadaan ‘kesejahteraan diri’ bagi setiap individu melalui sistem pendidikan Malaysia, dan 5. Kesudahannya individu tersebut berupaya menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara; begitu jugalah dunia sejagat.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah tunjang kepada semua dasar-dasar lain dalam bidang pendidikan sama ada yang telah dilaksanakan atau bakal dilaksanakan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan terpakai kepada semua peringkat pendidikan daripada yang paling rendah sehingga ke peringkat yang tertinggi. Justeru, segala perubahan yang hendak dibuat dalam bidang pendidikan memerlukan penelitian rapi bagi memastikan agar ia menepati aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.



RUKUN NEGARA

Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya  tragedi 13 Mei 1969  yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara. Tragedi ini telah membuka mata dan menyedarkan semua pihak betapa peri pentingnya bersatu padu dan hidup dengan aman dan damai serta menghindari sifat curiga-mencurigai antara satu sama lain. Rukun Negara terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama menggariskan objektif masyarakat Malaysia yang mahu dibentuk iaitu:

1. Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat,

2. Memelihara satu cara hidup demokratik, 3. Mencipta satu masyarakat yang adil dan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, 4. Membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak, dan 5. Membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Bahagian kedua pula adalah ikrar yang menggariskan lima prinsip Rukun Negara sebagaimana berikut:

Maka kami rakyat Malaysia  berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut: 1. Kepercayaan Kepada Tuhan 2. Kesetiaan Kepada Raja dan Negara 3. Keluhuran Perlembagaan 4. Kedaulatan Undang-Undang 5. Kesopanan dan Kesusilaan

Mengamalkan Rukun Negara akan melahirkan masyarakat yang bersatu padu, muhibah tanpa mengira kaum serta bersikap saling hormatmenghormati. Perpaduan yang mampan akan dapat membantu negara mempertingkatkan lagi daya saing pertumbuhan ekonomi, mengekalkan kestabilan politik dan sistem pemerintahan negara berlandaskan acuan yang termaktub dalam Rukun Negara.



FALSAFAH SEJAHTERA SEBAGAI PENTAFSIRAN RUKUN NEGARA

Konsep sejahtera terdapat dalam pernyataan Falsafah Pendidikan

Kebangsaan dan ia seharusnya difahami dalam konteks tersebut. Berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, hanya individu yang ‘mencapai kesejahteraan diri’ yang mampu memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara. Menurut Dzulkifli (2019), kesejahteraan ini perlu difahami dalam konteks mikrokosmik atau dalaman (pengurusan diri yang seimbang antara elemen JERI) dan makrokosmik atau luaran (masyarakat, ekonomi, ekologi dan budaya). Gabungan antara aspek inilah yang akan melahirkan falsafah sejahtera sebagai pentafsiran kepada Rukun Negara. Beliau kemudian melanjutkan lagi konsep tersebut dengan menggandingkannya dengan maqasid syariah. Dengan menyusun 10 unsur sejahtera (kerohanian, emosi, etika, intelek, kognitif, psikomotor, ekologi, ekonomi, budaya dan masyarakat) dan lima komponen utama maqasid syariah (menjaga jiwa, agama, akal, keturunan dan harta), beliau menggambarkan konsep sejahtera yang melampaui ruang lingkup sempadanan nasional, internasional dan global. Sila rujuk Rajah 1.1 berikut:

Tahap 1 Kerohanian Emosi Maqasid Jiwa Jiwa

Etika (Budi) Kekayaan/Nilai

Tahap 2 Intelek Maqasid ‘Aqal

Psikomotor Keturunan

Kognitif ‘Aqal

Tahap 3 Ekologi Ekonomi Budaya Masyarakat Maqasid Sumber Kekayaan/Harta Keturunan Sumber

Rajah 1.1: Menunjukkan hubungan lima aspek maqasid syariah dengan 10 unsur sejahtera dalam tiga tahap untuk memaknakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sepenuhnya

Rukun Negara adalah asas yang perlu difahami untuk menjadi warganegara baik. Kaedah utama untuk melahirkan warganegara yang baik ialah melalui pendidikan. Malaysia mempunyai falsafah pendidikan yang tersendiri untuk

melahirkan insan sejahtera dan warganegara yang baik serta berupaya memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara. Konsep insan yang baik bersifat makrokosmik secara universal. Manakala warganegara yang baik pula bersifat mikrokosmik untuk membangunkan negara dalam acuannya yang tersendiri. Sistem pendidikan negara melalui acuan Falsafah Pendidikan Kebangsaan berupaya melahirkan warga Malaysia yang mampu mendepani cabaran pascamodenisme yang dipenuhi dengan pelbagai aliran pemikiran yang bertentangan dengan roh Rukun Negara dan pelbagai ajaran agama di Malaysia.



PENUTUP

Bab ini berusaha mengajak pelajar untuk memahami konsep falsafah dan mengaitkannya dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Rukun Negara. Pendekatan ini akan menjadikan pelajar menilai isu-isu semasa dalam dan luar negara secara kritis. Melalui pendekatan ini, pelajar dilatih untuk memahami isu semasa dalam konteks dan skop yang lebih luas dan analitikal. Proses ini sangat penting untuk mempersiapkan pelajar bagi menghadapi kolonialisasi yang berlaku dalam pelbagai cara dan dimensi termasuk kolonialisasi rohani, emosi dan intelek.



LATIHAN

1. Apa makna falsafah? Kaitkan jawapan tersebut dengan kehidupan anda sebagai pelajar. 2. Jelaskan mengapa kefahaman mengenai Falsafah Pendidikan Kebangsaan penting untuk mendepani cabaran global abad ke-21? 3. Apakah perkaitan antara Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta hubungannya dengan anda? 4. Jelaskan maksud kesejahteraan diri mengikut perspektif anda.



RUJUKAN

Dzulkifli A.R., Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai Wahana Global dan Antarabangsa, (ms 21-33) dlm Dzulkifli A.R. & Rosnani H. (2019). Pentafsiran Baharu Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelaksanaannya Pasca 2020. Kuala Lumpur: IIUM Press. Dzulkifli A.R., Hari Muka Falsafah Pendidikan Kebangsaan: Adab, Akhlak, Limpahan Budi dan Sejahtera, (ms 370-380), dlm Dzulkifli A.R. & Rosnani H. (2019). Pentafsiran Baharu Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelaksanaannya Pasca 2020. Kuala Lumpur: IIUM Press. Noor Hisham dan Nurul Hudani (2018). Wacana Falsafah Ilmu. Kota Bharu: Penerbit UMK Osman B., Aspek Kesejagatan dan Peradaban Falsafah Pendidikan Kebangsaan, (ms 34-51) dlm Dzulkifli A.R. & Rosnani H. dlm Dzulkifli A.R. & Rosnani H. (2019). Pentafsiran Baharu Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelaksanaannya Pasca 2020. Kuala Lumpur: IIUM Press Wan Zahid W.M.N., Falsafah Pendidikan Kebangsaan: Sejarah dan Matlamat, (ms 3-20) dlm Dzulkifli A.R. dan Rosnani H. (2019). Pentafsiran Baharu Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelaksanaannya Pasca 2020. Kuala Lumpur: IIUM Press.

BAB 2

FALSAFAH DALAM KEHIDUPAN

Asma Lailee Mohd Noor & Nur Azuki Yusoff



HASIL PEMBELAJARAN •







Menjelaskan perkembangan disiplin ilmu falsafah serta pembahagian ilmu falsafah kepada falsafah teoretikal (Nazariyyah) dan falsafah praktikal (Amaliyyah). Menghuraikan cabang-cabang utama falsafah teoretikal iaitu metafizik (falsafah hakikat dan kewujudan), epistemologi (falsafah ilmu dan kebenaran), falsafah psikologi (falsafah hakikat, sifat dan potensi keinsanan) dan estetik (teori perasaan dan kecantikan). Menghuraikan cabang-cabang utama falsafah praktikal iaitu etika (falsafah akhlak dan baik/buruk), falsafah politik (falsafah kerajaan dan governan negara), falsafah ekonomi (falsafah pengagihan kekayaan dan keadilan) dan falsafah peradaban(falsafah perkembangan budaya dan tamadun kemanusiaan). menganalisis perkembangan dan kemunculan terbaru dalam dunia falsafah seperti falsafah teknologi, falsafah organisasi dan falsafah ekologi.



PENDAHULUAN

Bab ini akan menjelaskan cabang-cabang ilmu falsafah iaitu falsafah teoretikal dan falsafah praktikal. Selain itu, bab ini juga membincangkan kemunculan falsafah-falsafah baharu. Gambaran jelas kesinambungan bab awal dengan bab ini ialah kronologi perbincangannya daripada Falsafah Pendidikan Kebangsaan kepada Rukun Negara dan kemudiannya kepada

falsafah sejahtera serta cabang cabang ilmu falsafah dalam kehidupan. Hubungan antara setiapnya sangat penting dan perlu difahami dengan baik demi pengkayaan ilmu pelajar.



CABANG-CABANG ILMU FALSAFAH

Falsafah boleh dibahagikan kepada dua cabang utama iaitu teoretikal dan praktikal. Cabang-cabang falsafah ini terbentuk daripada cetusan pemikiran yang kritis sejak berkurun lama.

Orientasi Falsafah

Selain daripada takrifan falsafah menurut Greek iaitu kecintaan terhadap kebijaksanaan (love of wisdom), terdapat fahaman-fahaman lain tentang maksud falsafah yang membawa orientasi yang berbeza. Terdapat aliran yang berbeza berasaskan kepada pentakrifan yang berbeza terhadap maksud aktiviti atau ilmu falsafah itu. Love of wisdom menunjukkan penekanan terhadap kehidupan iaitu falsafah bertujuan memberikan panduan tentang bagaimana melahirkan suatu kehidupan yang baik dan membahagiakan. Secara keseluruhan, fokus atau matlamat falsafah ialah pencarian ilmu-ilmu yang bermanfaat dan pengamalan amalan-amalan baik yang boleh menyempurnakan manusia dan mendorongnya mencapai kebahagian dalam hidup.

Perkembangan Pendekatan Falsafah

Falsafah bukan hanya suatu ilmu atau bentuk pemikiran yang bersifat teoretikal semata bahkan mempunyai kesan terhadap kehidupan itu sendiri. Inilah satu pendekatan yang terdapat dalam kegiatan berfalsafah pada masa dahulu seperti tamadun Greek, Cina dan India. Falsafah tersebut mempunyai kaitan rapat dengan fahaman keagamaan yang juga bertujuan untuk melahirkan satu kehidupan yang baik dan mulia. Fokus falsafah

adalah insan dan kemanusiaan itu sendiri. Terdapat juga perkembangan lain yang menyebabkan falsafah tidak hanya memberi penekanan terhadap soal kebijaksanaan dan kehidupan manusia semata malahan meluas kepada alam tabi’i (natural philosophy). Ahli-ahli falsafah cuba mendirikan teori masing-masing tentang hakikat dan sifat alam tabi’i. Perubahan ini menunjukkan peralihan fokus daripada kehidupan manusia kepada alam tabi’i. Wujud pelbagai teori falsafah yang membincangkan hakikat dan realiti sebenar alam ini sama ada bersifat material atau fizikal sahaja ataupun mengandungi unsur-unsur lain yang bukan bersifat material atau metafizik. Ini menunjukkan persoalan falsafah sudah beralih daripada alam manusia kepada alam tabi’i. Satu lagi perkembangan dalam pendekatan falsafah ialah perubahan konsep falsafah sebagai suatu aktiviti intelektual yang cuba menyelesaikan masalah-masalah falsafah. Dalam pendekatan tersebut, penekanan diberikan kepada permasalahan falsafah dan bentuk-bentuk penyelesaiannya. Ini bermaksud falsafah telah beralih arah kepada suatu bidang yang bersifat akademik dan cuba menghuraikan persoalan-persoalan intelektual dengan penyelesaian tertentu tanpa mengaitkannya dengan kebijaksanaan dan kehidupan manusia sebagaimana sebelumnya. Maka timbullah gerakangerakan seperti positivisme logical, analytic philosophy, falsafah bahasa (philosophy of language) dan sebagainya. Satu perkara yang dikongsi bersama oleh kegiatan atau ilmu falsafah di Barat adalah penekanan mereka terhadap kegiatan penyelesaian masalah (problem solving). Penghujahan rasional dan penglibatan logik dalam kegiatan berfalsafah adalah satu bentuk falsafah yang berlainan dan agak baharu. Pendekatan ini dilihat selaras dengan ilmu itu sebagai sesuatu yang mempunyai justifikasi rasional dan konseptual. Ini merupakan sesuatu yang agak berbeza bukan sahaja kepada falsafah pada zaman Greek yang berteraskan kepada persoalan kehidupan dan kebahagiaan, tetapi juga berbeza daripada falsafah Timur yang tidak bersifat konseptual. Falsafah Timur tidak berhujah secara mendalam menggunakan logik dan rasionaliti, tetapi lebih mengarah kepada penggunaan kaedah induktif dan metafizik untuk menghuraikan realiti

mengikut pandangan atau visi masing-masing. Dengan lain perkataan, pendekatan falsafah Barat dan Timur adalah berbeza dan setiap satunya mempunyai kelebihan masing-masing dan tersendiri. Antara kekuatan pendekatan Barat ialah pembuktian melalui kaedah empirikal dengan lahirnya mantik moden yang berteraskan pendekatan induktif-empirikal. Ini selaras dengan kemunculan tokoh-tokoh moden seperti Roger Bacon, John Stuart Mill dan lain-lain yang mendapat inspirasi daripada kajian Ibnu Haytham dan Jabir Ibnu Hayyan. Manakala kelebihan pendekatan Timur pula ialah penekanannya kepada aspek penghujahan rasional dan penerimaan aspek kerohanian.



FALSAFAH TEORETIKAL

Falsafah teoritikal adalah falsafah yang merujuk kepada persoalanpersoalan dasar yang memerlukan satu usaha intelektual yang mendalam untuk menjawabnya. Perbincangannya berusaha untuk memuaskan keinginan bagi mengetahui sesuatu perkara yang bersifat intelektual di samping membantu seseorang untuk memahami cara dan arah manusia berfikir.

Metafizik

Metafizik adalah satu komponen penting dalam falsafah yang menjelaskan bahawa ruang lingkup atau wilayah cakupan falsafah bukan hanya terbatas pada persoalan alam fizikal malah turut menjangkau alam metafizikal atau supernatural. Falsafah fizik menyentuh persoalan realiti kebendaan atau perkara yang dapat diketahui melalui pengalaman empirikal dan dapat difahami oleh akal rasional. Manakala falsafah metafizik pula menyentuh persoalan ‘di luar’ realiti kebendaan dan yang tidak diketahui melalui pengalaman fizikal (pancaindera) manusia. Antara tema besar dalam persoalan metafizik ialah ketuhanan, takdir, jiwa atau roh, akal dan jasad, keabadian dan perubahan, asal mula dan akhir sesuatu dan sebagainya.



Epistemologi

Selain daripada metafizik, komponen utama falsafah juga ialah epistemologi. Epistemologi boleh ditakrifkan sebagai teori pengetahuan yang benar. Ianya membahaskan tentang hakikat, sumber dan kesahan sesuatu ilmu. Teori pengetahuan ini melibatkan upaya rasional untuk menimbang dan menentukan nilai kognitif pengalaman manusia dalam interaksinya dengan diri dan lingkungan sekitarnya. Justeru, epistemologi bersifat evaluatif, normatif dan kritis. Dalam skala yang lebih besar, epistemologi mempengaruhi peradaban manusia kerana setiap peradaban dibentuk oleh teori pengetahuannya yang mendorong pemikiran dan perenungan manusia tentang bagaimana cara membangunkan sesuatu visi mengikut konteks masing-masing.

Psikologi

Falsafah psikologi memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Falsafah psikologi memandu kita memahami minda dan tingkah laku manusia dengan lebih baik. Dengan adanya kefahaman tentang psikologi, manusia dapat menentukan bagaimana minda dan sistem badan seseorang itu berfungsi dan membantu individu dalam membuat sesuatu keputusan. Selain mengkaji fungsi mental dalam tingkah laku sosial, falsafah ini juga meneroka proses fisiologi dan biologi yang mendasari fungsi dan perilaku kognitif. Penguasaan falsafah psikologi berupaya memberi penghayatan terhadap hakikat, sifat dan potensi keinsanan sehingga akhirnya kapasiti setiap insan dapat dibangunkan secara seimbang dalam semua fakulti dan dimensinya.

Estetika

Falsafah estetika berkait rapat dengan kepekaan terhadap kesenian dan

keindahan. Keindahan dalam makna estetika meliputi persoalan keindahan seni, alam, moral dan intelektual. Secara umumnya, persoalan-persoalan estetika adalah persoalan kritis yang menggambarkan, menafsirkan dan menilai pengalaman seni. Falsafah estetika berkait dengan persoalan seperti berikut: Apakah itu seni? Apakah teori-teori seni? Apakah keindahan dan teori tentang keindahan? Apakah keindahan itu objektif atau subjektif? Apakah keindahan itu berperanan dalam kehidupan manusia seharian? Apakah neraca yang digunakan untuk menentukan keindahan?



FALSAFAH PRAKTIKAL

Falsafah praktikal adalah perbincangan falsafah dalam disiplin tertentu yang mempersoalkan tentang sesuatu bidang yang mempunyai aplikasi yang jelas misalnya bidang ekonomi, politik, etika dan peradaban.

Ekonomi

Falsafah ekonomi membincangkan perkara dan persoalan dasar mengenai ekonomi seperti keadilan dan kesaksamaan ekonomi. Pemikiran falsafah mengenai keadilan dan kesaksamaan ekonomi boleh diguna pakai supaya dasar, sumber dan pengagihan ekonomi akan menjadi lebih adil lagi. Ini akan membantu kerajaan dalam membentuk dasar ekonomi yang lebih adil justeru lebih mudah diterima oleh masyarakat umum.

Politik

Hasil perbincangan falsafah politik boleh memberi hasil yang praktikal dan menjadi nasihat yang berguna kepada kerajaan mengenai konsep pentadbiran sesuatu negara, sistem kerajaan dan sebagainya. Plato melalui penulisannya The Republic, menganjurkan satu masyarakat yang ideal dan prinsip politik ideal yang boleh dipraktikkan oleh sesebuah kerajaan. Demokrasi, liberal demokrasi, Marxisme dan Komunisme adalah contoh

mudah yang berkaitan dan berpunca daripada pemikiran falsafah politik. Marxisme misalnya berasaskan kepada pemikiran Karl Marx. Fahaman sosialis ala Karl Marx telah mempengaruhi negara-negara besar seperti Rusia dan China.

Etika

Falsafah etika adalah disiplin ilmu yang mengkaji dan mempersoalkan pelbagai isu baik dan buruk tentang adat, tabiat, susila, cara berfikir, sikap, agama dan semua faktor yang dapat mempengaruhi kehidupan manusia. Ia juga menumpukan kepada aspek tingkah laku manusia terutama dalam konteks hubungan sesamanya sama ada kehidupan peribadi atau sosial yang akan dinilai sama ada dalam bentuk baik atau buruk. Falsafah etika perlu difahami melalui satu prinsip mutlak dan universal. Hal ini tidak bertujuan untuk menyempitkan perbahasan etika sebaliknya untuk meluaskan maksud dan pemahaman etika tanpa mengabaikan keadaan semasa dan cabaran mendatang. Etika bukan sahaja mempunyai kaitan langsung dengan pelbagai cabang kehidupan manusia bahkan ia menjadi satu set panduan kepada mereka yang inginkan kehidupan yang bermakna dan sejahtera.

Peradaban

Falsafah peradaban ialah pemikiran tentang keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur serta mempunyai pencapaian yang signifikan dalam bidang pemikiran, material dan spiritual. Peradaban juga memiliki institusiinstitusi yang kompleks, melibatkan tahap pengkhususan yang tinggi dalam kalangan anggota masyarakat dan tahap penguasaan teknologi yang canggih. Pencapaian material yang dicapai dalam sesebuah peradaban seperti unsur seni bina, pentadbiran yang berkesan, pencapaian ilmu pengetahuan dan sebagainya bergerak seiring dengan unsur-unsur moral atau kerohanian. Ahli masyarakatnya mengamalkan perkongsian normanorma sosial dan tradisi yang melahirkan kesepaduan politik dan budaya,

serta menguruskan sebuah kerajaan yang demokratis. Matlamat akhir falsafah ini ialah menyempurnakan manusia dengan kemanusiaannya, menimbulkan makna sebenar perhambaan kepada Tuhan dan keseimbangan yang menyeluruh dalam hidup individu dan masyarakat.



KEMUNCULAN FALSAFAH-FALSAFAH BAHARU

Pada abad ke-21 ini telah muncul falsafah teknologi, organisasi dan ekologi. Falsafah-falsafah ini secara relatifnya boleh dianggap baharu berbanding dengan falsafah teoretikal, falsafah etika dan sebagainya.

Teknologi

Falsafah teknologi muncul disebabkan kemunculan teknologi-teknologi baharu yang begitu pesat selepas revolusi industri kedua pada abad ke-19. Revolusi industri telah menghasilkan pelbagai teknologi baharu seperti teknologi pembuatan kereta, kapal terbang, telefon, televisyen dan sekarang ini komputer, internet dan sebagainya. Teknologi tersebut telah memberi impak yang sangat besar kepada kehidupan manusia. Oleh itu, masyarakat memerlukan dasar pemikiran tertentu iaitu pemikiran falsafah tentang hakikat teknologi, hubungan teknologi dengan manusia dan sifat teknologi sama ada dianggap sebagai sambungan kepada diri manusia atau sesuatu yang boleh mengancam kemanusiaan itu sendiri seperti teknologi persenjataan atau teknologi berasaskan artificial intelligence yang boleh menghasilkan robot yang diramalkan mampu mengambil alih peranan manusia.

Organisasi

Falsafah organisasi meletakkan prinsip dan dasar bagi setiap kegiatan agar setiap ahli organisasi dapat berfungsi dengan efisien dan efektif dalam melaksanakan peranan masing-masing. Organisasi dilihat sebagai wadah

yang menjadi tempat sekelompok individu berkumpul, berinteraksi dan seterusnya bekerjasama dalam mengusahakan sesuatu tujuan atau objektif organisasi yang telah disepakati bersama. Organisasi juga boleh difahami sebagai suatu proses iaitu individu-individu yang terlibat mengalami fasafasa tertentu yang menjadikan setiap individu tersebut mengerti tentang dirinya, tujuan kehidupannya dan pengakhiran hidupnya.

Ekologi

Falsafah ekologi membincangkan kerangka pemikiran dalam pengurusan persekitaran khususnya hubungan dan interaksi di antara manusia dengan alam sekitar. Oleh sebab kepesatan pembangunan yang tidak dirancang dengan teliti, kebanyakan pembangunan yang muncul pada hari ini meninggalkan kesan yang buruk kepada alam sekitar. Falsafah ekologi melihat bagaimana hubungan antara sesama manusia mampu mempengaruhi alam persekitarannya secara positif, memanfaatkan hasil alam secara bijaksana dan lestari serta memahami makna kehidupan dengan lebih baik. Hubungan timbal balas antara manusia dan alam penting untuk melestarikan kehidupan manusia kini dan untuk generasi yang akan datang. Alam sekitar bukan sahaja memberi manfaat kepada manusia secara fizikal tetapi juga memberi nilai kesedaran pemikiran, penghayatan makna kebahagiaan, dan hubungan manusia dengan Tuhan.



PENUTUP

Bab ini berusaha mengajak pelajar untuk memahami cabang falsafah dan mengaitkannya dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Rukun Negara dan falsafah sejahtera yang boleh dilihat sebagai falsafah baharu dalam bentuk teoretikal dan praktikal. Falsafah merupakan bidang ilmu yang sangat luas. Kefahaman yang baik tentang tajuk penting untuk membantu pelajar menilai semula pelbagai isu semasa yang melatari kehidupannya. Kefahaman ini juga akan membantu pelajar untuk melihat tujuan dan roh

Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta Rukun Negara dalam perspektif yang tepat yang seterusnya menjadi asas kepada pembangunan warganegara yang bertanggungjawab dan profesional. Kedinamikan perkembangan falsafah baharu akan mematangkan cara pelajar berfikir dalam mengurus kepelbagaian dimensi polisi dan birokrasi kehidupan.



LATIHAN

1. Nyatakan pembahagian ilmu falsafah? Kaitkan jawapan tersebut dengan pengetahuan anda sebagai pelajar. 2. Jelaskan falsafah teoretikal dan berikan contoh-contoh yang bersesuaian? 3. Apakah perbezaan antara falsafah teoretikal dan falsafah praktikal? 4. Apakah fungsi falsafah dalam menangani kemunculan fenomenafenomena terkini kehidupan?



RUJUKAN

Abdul Jalil Hasan (1989). Falsafah dan Pengetahuan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Abdul Latif Samian (1993). Pengenalan Falsafah dan Sejarah Sains. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Abdul Rahman Abdullah (2005). Wacana Falsafah Ilmu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Abdul Rahman Abdullah (2016). Wacana Falsafah Barat. Kuala Lumpur: ITBM Awang Sarian (2007). Falsafah dan Logika Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Dzulkifi Abdul Razak (2015). Nurturing a Balanced Person. Kuala Lumpur: ITBM DzulkifliA.R., Hari Muka Falsafah Pendidikan Kebangsaan: Adab, Akhlak,

Limpahan Budi dan Sejahtera, (ms 370-380), dlm Dzulkifli A.R. & Rosnani H. (2019). Pentafsiran Baharu Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelaksanaannya Pasca 2020. Kuala Lumpur: IIUM Hashim Musa (2001). Falsafah, Logik, Teori Nilai dan Etika Melayu: Suatu Pengenalan. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu Noor Hisham dan Nurul Hudani (2018). Wacana Falsafah Ilmu. Kota Bharu : Penerbit UMK. Osman B., Aspek Kesejagatan dan Peradaban Falsafah Pendidikan Kebangsaan, (ms 34-51) dlm Dzulkifli A.R. & Rosnani H. dlm Dzulkifli A.R. & Rosnani H. (2019). Pentafsiran Baharu Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelaksanaannya Pasca 2020. Kuala Lumpur: IIUM

BAB 3

LOGIK DAN FALSAFAH

Mohd Kamil Ahmad & Nurul Iman Mohd Zain



HASIL PEMBELAJARAN • Menjelaskan peranan, kedudukan dan hubungan ilmu logik dengan ilmu falsafah. • Menghuraikan perkembangan, kegunaan dan perbezaan dua pendekatan utama dalam logik iaitu deduksi dan induksi. • Menghuraikan kepelbagaian metodologi yang memperkayakan perkembangan ilmu-ilmu yang lebih kompleks. • Menganalisis metodologi penghasilan dan penjanaan ilmu-ilmu baharu.



PENDAHULUAN

Bab ini akan menjelaskan peranan dan kedudukan ilmu logik dalam ilmu falsafah. Secara amnya, cabang falsafah boleh dibahagikan kepada empat iaitu metafizik, epistemologi, logik dan aksiologi. Ilmu logik bertujuan untuk menjelaskan kaedah berfikir yang benar dan sah. Logik juga disebut sebagai undang-undang atau prinsip-prinsip berfikir. Ia memberitahu kita kaedah atau cara berfikir yang betul dan menunjukkan perangkapperangkap berfikir yang boleh mengelirukan dan menyesatkan. Terdapat pelbagai kaedah dan pendekatan untuk berfikir secara benar dan sah. Walau bagaimanapun, bab ini hanya memberi penumpuan kepada dua kaedah utama iaitu deduksi dan induksi. Kaedah-kaedah lain yang berkaitan juga dibincangkan secara ringkas.



PENGENALAN ILMU LOGIK



Logik berasal daripada perkataan Latin, iaitu logos yang bermaksud ‘ucapan perkataan’. Istilah ini juga dapat dikaitkan dengan istilah mantiq, yang berasal daripada bahasa Arab yang membawa makna ‘berkata atau berucap’. Logik boleh ditakrifkan sebagai ilmu, disiplin atau peraturan akal yang jika dipatuhi boleh menghindarkan diri daripada kesalahan berfikir. Oleh itu, fokus ilmu ini ialah menjelaskan kaedah dan prinsip yang perlu dipatuhi untuk membezakan antara hujahan yang sah dan benar dengan hujahan yang tidak sah dan tidak benar (Hashim, 2001). Individu yang mempelajari dan mengamalkan prinsip-prinsip ilmu ini berkemungkinan besar dapat berhujah secara sah dan benar berbanding mereka yang tidak mempelajarinya. Namun, itu tidak menolak kemungkinan bahawa individu yang tidak mempelajari logik dapat juga berhujah dengan sah dan benar. Ilmu logik berperanan meneliti dan membezakan antara hujah yang sah dan benar dengan hujah yang tidak sah dan tidak benar. Terdapat pelbagai kaedah serta perincian untuk memastikan proses berfikir yang dilakukan adalah sah dan benar, namun kaedah deduksi dan induksi dianggap sebagai kaedah yang paling asas serta paling penting dalam bab ini.



KAEDAH BERFIKIR DEDUKTIF

Deduktif juga dikenali dengan beberapa istilah lain seperti sylogisme dan qiyas. Ia merujuk kepada pengaplikasian kaedah umum ke atas masalah khusus bagi menjelaskan hukum masalah khusus tersebut. Proses ini melibatkan penyusunan beberapa pernyataan (premis) mengikut struktur tertentu, yang apabila setiap pernyataan tersebut dibuktikan benar dan sah, akan menatijahkan hasil yang sah dan benar (Nayif, 2016 dan Hashim, 2001).

Misalnya: Premis 1 : Demokrasi adalah sistem yang mengutamakan pandangan

rakyat. Premis 2 : Setiap sistem yang mengutamakan pandangan rakyat adalah adil. Natijah : Demokrasi adalah sistem yang adil.

Berdasarkan contoh di atas, sekiranya kita menerima premis 1 dan premis 2 sebagai benar dan sah, maka kita tidak boleh menolak kesimpulan atau natijahnya. Ini kerana natijah yang terhasil adalah mengikut premispremisnya secara pasti. Jika setiap premis adalah benar, dan strukturnya adalah betul, maka natijahnya juga pasti benar dan sah sebagaimana contohcontoh di bawah.





Dalam kaedah berfikir deduktif, perkara paling penting yang perlu ditekankan ialah kepatuhannya kepada dua syarat utama berikut: 1. Setiap premis perlu dipastikan benar. 2. Ia perlu mengikut struktur yang betul.

Dalam ilmu logik, istilah ‘sah’ merujuk kepada bagaimana struktur premis dalam sesuatu hujah menyokong natijah yang dihasilkan (Van Cleave, 2016). Dalam erti kata lain, apabila struktur atau susunan premis bagi suatu penghujahan adalah sah, maka secara automatik natijah yang terhasil adalah

sah. Walau bagaimanapun, hujah yang baik bukan sahaja perlu dipastikan ‘sah’, bahkan ia juga perlu ‘benar’. Jika istilah ‘sah’ berkait dengan struktur premis, istilah ‘benar’ pula merujuk kepada kandungan premis tersebut. Ringkasnya, hujah yang benar ialah hujah yang mengandungi premispremis yang benar (Van Cleave, 2016). Oleh itu, perlu difahami bahawa sebahagian hujah deduktif masih dianggap sah walaupun premis-premisnya tidak benar. Sebagai contoh, pemikiran deduktif di bawah mempunyai struktur premis yang betul, justeru natijah yang dihasilkan adalah sah walaupun tidak benar.

Formula Premis 1 Semua P ialah Q. Premis 2 S ialah P. Natijah Maka, S ialah Q.

Contoh Semua lembu berwarna biru. Socrates adalah seekor lembu. Maka, Socrates berwarna biru.

Oleh yang demikian, walaupun hujah deduktif yang sah menjamin kesahan natijah yang terhasil, namun ia tidak menjamin kebenaran natijah tersebut. Natijah yang sah dan benar hanya akan terbit apabila semua premis yang diletakkan adalah benar. Kaedah berfikir deduktif yang sah mesti mematuhi struktur premis yang sah. Apabila premis-premis tidak disusun dalam bentuk yang sah, walaupun semua premisnya benar, natijah atau kesimpulan yang dihasilkan tetap akan silap, tidak benar dan tidak sah. Dalam contoh di bawah, natijah pemikiran deduktif adalah tidak sah dan tidak benar kerana premis-premis tidak disusun dengan betul.

Formula (salah) Premis 1 Semua P adalah Q. Premis 2 S ialah Q. Natijah Maka, S ialah P.

Contoh Semua ahli falsafah bijaksana. Sam ialah seorang yang bijaksana. Maka, Sam ialah ahli falsafah.

Kesimpulannya, natijah yang benar dan sah hanya terhasil jika semua premisnya benar dan strukturnya juga betul.



KAEDAH BERFIKIR INDUKTIF

Jika kaedah deduksi merupakan penalaran daripada prinsip umum bagi mengetahui hukum kes khusus, kaedah induktif pula sebaliknya merujuk kepada penalaran daripada kes khusus kepada kesimpulan atau rumusan umum (Hashim, 2001). Jika kaedah deduktif menjamin kesahan dan kebenaran kesimpulan yang dihasilkan, kaedah induktif pula dalam kebanyakan situasi hanya menjanjikan kebarangkalian yang tinggi bahawa natijah yang terhasil daripada premis-premis tertentu adalah benar (Van Cleave, 2016). Ini bermaksud, dalam sesetengah situasi, natijah yang dicapai dalam kaedah induktif mungkin tidak benar walaupun kemungkinannya adalah kecil.

Pertimbangkan contoh-contoh di bawah: 1. Ali dapati Sofiah, Ahmad dan beberapa kenalannya dari Kelantan suka makanan manis. Ali membuat kesimpulan bahawa semua orang Kelantan suka makanan manis. 2. Abu tidak pernah lihat burung gagak melainkan berwarna hitam. Maka, dia membuat kesimpulan bahawa semua burung gagak berwarna hitam.

Diperhatikan bahawa kesimpulan mengenai ‘semua orang Kelantan suka makanan manis’ dan ‘semua burung gagak berwarna hitam’ adalah benar, tetapi pada masa yang sama ia hanya bersifat barangkali. Ada kemungkinan wujud orang Kelantan yang tidak suka makanan manis yang belum dikenali oleh Ali. Begitu juga ada kemungkinan wujud gagak yang bukan berwarna hitam yang belum dilihat oleh Abu. Dalam kebanyakan situasi, kaedah induktif hanya mampu memberikan natijah yang bersifat barangkali kerana mustahil bagi Ali untuk mengenali semua orang Kelantan, dan mustahil bagi Abu untuk menghitung semua

gagak yang wujud di muka bumi. Disebabkan wujud batasan ini, hujahan induktif boleh dibahagikan kepada dua iaitu: 1. Hujah induktif yang kuat, iaitu yang didasari oleh bukti yang banyak. 2. Hujah induktif yang lemah iaitu yang disokong oleh bukti yang sedikit.

Sebagai contoh: Jika Abu hanya melihat beberapa ekor gagak yang berwarna hitam dan terus membuat kesimpulan semua gagak berwarna hitam, hujah induktif yang digunakan adalah lemah kerana berdasarkan bukti yang sedikit. Tetapi, jika Abu telah melihat beribu-ribu ekor gagak dan kesemuanya berwarna hitam, maka hujah induktifnya adalah kuat kerana berdasarkan kepada bukti yang banyak.

Induktif Sempurna dan Tak Sempurna

Dalam kehidupan, sebahagian besar kesimpulan umum yang kita lakukan adalah berdasarkan induktif tak sempurna (incomplete induction), kerana dalam banyak keadaan adalah mustahil untuk kita mengkaji dan mengetahui kesemua kes khusus bagi sesuatu masalah sebagaimana contoh-contoh sebelum ini. Sehubungan itu, prinsip umum yang kita hasilkan kebanyakannya adalah bersifat barangkali dan mungkin tidak benar dalam kes tertentu. Kita sebenarnya memberikan hukum umum, “garam masin” atau “ilmu bermanfaat” berdasarkan induktif tak sempurna kerana tidak mustahil wujud garam yang masih belum kita uji dan rasanya tidak masin. Begitu juga, tidak semua ilmu bermanfaat kerana terdapat ilmu sihir misalnya yang dianggap tidak bermanfaat. Dalam sebahagian situasi, kesimpulan induktif dibuat setelah melakukan telahan ke atas semua kes khusus. Misalnya, kita membuat kesimpulan bahawa pelajar kelas 5A boleh membaca setelah menguji semua pelajar kelas tersebut tanpa ada yang tertinggal. Proses ini dipanggil induktif sempurna kerana ia melibatkan telahan ke atas semua juzuk masalah yang dikaji tanpa ada keciciran. Natijah yang dihasilkan melalui kaedah induktif sempurna adalah pasti dan kebenarannya tidak dapat

disangkal. Cuba fikirkan pernyataan umum ini, “semua manusia akan mati”. Adakah ini induktif sempurna atau tak sempurna, dan mengapa?



KAEDAH BERFIKIR LAIN: ABDUKSI DAN HEURISTIK

Dua kaedah lain pemikiran ataupun penghujahan ialah abduktif dan heuristik. Berbeza dengan deduktif dan induktif, kaedah abduktif dan heuristik ini jarang disebut dan tidak begitu terkenal dalam kajian ilmu logik, kerana kaedah-kaedah ini tidak mempunyai hukum-hukum inferens dan peraturan-peraturan membuat kesimpulan yang jelas. Namun demikian, ianya masih digunakan sebagai satu teknik pemikiran yang digunakan terutamanya dalam ilmu sains. Kaedah abduktif merupakan satu teknik berfikir secara ke belakang (thinking backwards). Sebagai contoh, apabila kita berdepan satu fenomena dan kita ingin mengetahui faktor-faktor yang menyebabkan terjadinya fenomena tersebut, maka kita cenderung untuk membuat satu inferen atau penjelasan ke belakang tentang apakah yang telah berlaku sebelum itu yang membawa kepada wujudnya fenomena tersebut. Dalam hal ini, kita seolaholah mengasaskan pemikiran kita berlandaskan kepada hubungan sebab dan akibat. Sebagai contoh: Semasa memandu kita melihat jalan raya yang basah, lalu kita timbulkan persoalan, apakah yang telah berlaku? Mengapa jalan raya basah? Dari situ kita berfikir ke belakang dan membuat kesimpulan bahawa hujan telah turun di tempat tersebut sebelum kita sampai. Kita juga boleh membuat kesimpulan bahawa hujan yang turun tidak lebat kerana tiada air bertakung. Kita juga boleh menolak andaian bahawa jalan raya basah disebabkan oleh Majlis Perbandaran menyiram air bagi menghilangkan debu kerana semua tanah, pokok, serta kawasan sekeliling juga basah. Manakala, kaedah heuristik pula merujuk kepada kaedah berfikir yang bersifat penerokaan (exploratory), dan bukan bersifat penilaian seperti yang terdapat dalam logik deduksi dan induksi. Kita menggunakan kaedah

deduktif dan induktif untuk menilai sama ada sesuatu penghujahan boleh diterima sebagai sah ataupun tidak. Sebaliknya melalui kaedah heuristik, kita cuba meneroka keadaan-keadaan baharu bagi mengetahui dan menyelesaikan permasalahan-permasalahan tertentu yang dihadapi. Kaedah ini dianggap sebagai kaedah “trial and error” yang mana kita cenderung untuk melakukan beberapa percubaan dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Setiap kali gagal, kita akan mencuba menggunakan kaedahkaedah yang berlainan pula. Sebagai contoh, seorang cef berusaha mencipta pelbagai resepi baharu dengan mencuba pelbagai bahan dan kaedah masakan.



LATIHAN

1. Apakah perbezaan utama kaedah berfikir secara deduksi dan induksi? Huraikan. 2. Selain daripada kaedah deduksi dan induksi, bolehkah anda memberikan contoh kaedah-kaedah berfikir yang lain? 3. Apakah syarat yang perlu dipatuhi bagi kaedah berfikir deduktif yang benar dan sah?



RUJUKAN

Fadhli, Abd al-Hadi (2008). Khulasat al-Mantiq. Qum: Islamic Jurisprudence Encyclopedia Institute. Hales, Steven D. (2013). This is Philosophy. UK: John Wiley and Sons Inc. Hamidah Abdul Hamid (1991). Pengantar Logik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hashim bin Haji Musa (2001). Falsafah, Logik, Teori Nilai dan Etika Melayu: Suatu Pengenalan. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu. Lok Chong Hoe (2014). Teknik-Teknik Penaakulan. USM: Penerbit USM.

Mohd. Azhar Abdul Hamid (2007). Meningkatkan Daya Fikir. Kuala Lumpur: PTS Professional. Nayif Bin Nahar (2016). Muqaddimah Fi ‘Ilm al-Mantiq. Doha: Muassasah Wa’y Li al-Dirasat Wa al-Abhath. Solomon, Robert C. dan Higgins, Kathleen M. (2010). The Big Questions: A Short Introduction to Philosophy. Austin: Wadsworth CENGAGE Learning. Van Cleave, Matthew J. (2016). Introduction to Logic and Critical Thinking. Lansing Community College.

BAB 4

FALASI DALAM BERFIKIR

Mohd Kamil Ahmad & Nurul Iman Mohd Zain



HASIL PEMBELAJARAN

• Menjelaskan pelbagai jenis kesalahan biasa dalam berfikir dan penghujahan atau falasi. • Menjelaskan kepentingan perbahasan falasi dalam menilai hujah dan cara berfikir. • Membezakan antara falasi formal dan tidak formal dalam pelbagai situasi. • Menerangkan kepelbagaian bentuk falasi yang sering menjadi kesilapan biasa dalam cara berfikir seharian.



PENDAHULUAN

Bab ini membincangkan pelbagai bentuk kesalahan dalam aktiviti berfikir dan berhujah. Mungkin ramai yang bertanya mengapa mempelajari kesalahan berfikir atau falasi itu penting. Adakah tidak cukup dengan mempelajari kaedah dan syarat-syarat berfikir yang betul, kita akan terhindar daripada kesalahan berfikir dan berhujah?



KEPENTINGAN PERBAHASAN FALASI

Dalam realiti harian, penilaian hujah yang benar atau salah tidak semudah dengan hanya menilai kebenaran premis dan kesahihan susunannya. Hujah yang dihadapi tidak selalunya ringkas dan jelas. Sebaliknya, ia mungkin hadir bercampur malah bersebati dengan pelbagai unsur seperti bahasa,

emosi, budaya dan lain-lain yang boleh menjadikan unsur falasi tersembunyi di dalamnya terutama bagi orang awam. Perbahasan falasi mengajar kita lebih daripada sekadar tahu kaedah menyusun premis-premis yang benar untuk sampai kepada natijah yang benar sahaja. Bahkan ia berfungsi umpama mesin x-ray yang menyuluh dan menampakkan kesalahan berfikir yang terselindung di sebalik hujah yang dikemukakan. Dalam membina kemampuan untuk membezakan di antara hujah yang benar dan salah, mengetahui syarat-syarat hujah yang benar sahaja selalunya tidak cukup, bahkan perlu juga difahami perbahasan falasi supaya kebenaran dapat dibezakan dengan lebih jelas dan yakin. Selain itu, perbahasan falasi juga mengajar kita supaya lebih berhatihati apabila terlibat dalam sesuatu perdebatan agar tidak terperangkap dengan helah dan tipu daya pihak lawan yang menggunakan hujah-hujah yang salah dan palsu.



DEFINISI FALASI

Falasi boleh ditakrifkan sebagai kesalahan dalam berfikir yang menyebabkan hujahan palsu dan mengelirukan diterima sebagai sah dan benar (Sariyan, 2007). Falasi berasal daripada perkataan fallo yang bermaksud “saya menipu”. Hujahan yang pada sekali imbas nampak benar dan sah, tetapi sebenarnya tidak, kerana sama ada kesimpulannya nampak sah tetapi hakikatnya tidak sah, atau pun premis-premisnya nampak benar tetapi hakikatnya tidak benar. Oleh itu, falasi boleh dijelaskan sebagai bentuk hujahan yang nampak betul, tetapi setelah diperiksa terbukti tidak betul dan tidak sah. Oleh kerana itu, hujahan falasi boleh mengelirukan.



JENIS-JENIS FALASI

Secara umumnya, terdapat dua jenis falasi iaitu falasi formal dan falasi tidak formal.



Falasi Formal

Falasi formal adalah hujah yang diasaskan dari struktur atau bentuk susunan premis yang tidak sah (Van Cleave, 2016). Falasi jenis ini boleh dikenal pasti dengan hanya melihat kepada struktur penghujahan tanpa perlu terlebih dahulu berusaha memahami konsep dan kandungan hujahan. Bentuk susunan premis yang sah dan betul adalah syarat untuk mengeluarkan hujah yang benar dan sah sebagaimana yang telah dijelaskan dalam kaedah berfikir deduktif. Struktur yang salah akan menyebabkan ketidakseimbangan antara premis hujah dengan natijah yang dikeluarkan. Ini bermakna premis-premis yang disusun dalam sesebuah penghujahan tidak akan menghasilkan kesimpulan yang sah dan benar.

Hujah

Hukum

Premis 1 Semua kucing adalah binatang

Benar

Premis 2 Semua anjing ialah binatang

Benar

Natijah

Maka, semua kucing ialah anjing Tidak benar

Di dalam contoh ini, dapat dilihat bahawa premis-premis yang dibawa walaupun benar tidak menatijahkan kesimpulan yang benar kerana struktur yang digunakan adalah tidak benar.

Falasi Tidak Formal

Terdapat banyak hujah yang meskipun dari sudut formal adalah sah kerana patuh kepada struktur penghujahan yang betul, namun ia tetap dikategorikan sebagai hujah falasi. Falasi tidak formal adalah kelemahan atau kesalahan yang terdapat dalam suatu hujah tetapi tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan kaedah atau struktur hujah itu. Falasi ini tidak dapat dikesan dengan mudah tanpa memahami konsep-konsep yang

terlibat dalam penghujahan yang dilakukan (Van Cleave, 2016). Terdapat banyak jenis falasi tidak formal. Dalam modul ini, fokus hanya diberikan kepada beberapa jenis falasi penting yang biasa menjadi kesilapan dalam kehidupan seharian.

Generalisasi yang terburu-buru (hasty generalization) Falasi ini berlaku apabila seseorang melihat satu fenomena dan menganggapnya sebagai bukti yang cukup untuk menghukumnya sebagai satu fenomena yang umum.

Misalnya: Ahmad memiliki kereta Proton. Sepanjang tahun pertama, kereta itu telah rosak beberapa kali. Ahmad membuat kesimpulan bahawa semua kereta Proton tiada kualiti. Ini adalah kaedah berfikir yang silap kerana kesimpulan umum yang dibuat hanya bersandarkan satu pembuktian sahaja.

Falasi serangan peribadi (ad hominem) Kesilapan berfikir dengan menolak atau menentang pendapat seseorang kerana kekurangan peribadi individu tersebut tanpa menilai hujah yang dikemukakan. Dalam erti kata lain, serangan dilakukan ke atas peribadi individu dan bukannya hujah yang dikemukakan.

Contohnya: “Awak pelajar junior, saya lebih senior. Maka awak tidak berhak menasihati saya”.

Falasi orang-orang (Strawman Fallacy) Apabila lawan memberi hujah yang kuat dan sukar untuk ditolak, antara cara untuk menolak hujah ini ialah dengan memberi tafsiran yang terpesong kepada hujah tersebut supaya ia lebih mudah dipatahkan. Hujah terpesong ini kemudian dijadikan sasaran bagi menampakkan seolah-olah hujahan balas ditujukan kepada hujah asal, tetapi sebenarnya tidak. Apabila seseorang sengaja mentafsirkan hujahan lawan dengan makna yang silap dengan tujuan supaya ia lebih mudah ditolak, dia telah melakukan falasi

strawman.

Misalnya, perhatikan dialog antara Sally dan Bob. Sally : “Pengguguran adalah salah, kerana salah untuk kita membunuh nyawa yang tidak berdosa. Fetus adalah nyawa yang tidak berdosa, justeru pengguguran adalah salah dari segi moral”. Bob : “Tindakan menggugurkan bayi adalah tidak salah. Mereka yang mengatakan atau berfikir bahawa pengguguran adalah salah adalah golongan ekstremis yang cuba memaksa pemikiran sempit mereka ke atas orang lain”.

Bob telah melakukan falasi strawman dengan memesongkan hujah yang menentang pengguguran sebagai fahaman ekstremis.

Falasi pemesongan (Red Hering) Falasi jenis ini adalah dengan mengemukakan pandangan yang tidak relevan dengan isu yang diperkatakan. Tujuannya adalah untuk memesongkan pernyataan asal hujahan dan secara langsung memberikan implikasi terhadap isu yang diperkatakan. Ia juga turut mengakibatkan pernyataan-pernyataan di dalam sesuatu isu itu terkeluar daripada apa yang cuba diketengahkan di awal hujahan.

Contohnya: “Merokok boleh membawa maut” (hujah asal). “Orang yang tidak merokok pun boleh mati juga!” (hujah yang dipesongkan).

Kesilapan memahami hubungan sebab dan akibat (faulty cause & effect) Falasi jenis ini berlaku apabila kita mengandaikan bahawa dua fenomena yang dilihat saling berturutan mempunyai hubungan sebab dan akibat antara satu sama lain. Oleh kerana B hadir selepas A, maka A adalah sebab kepada B, tetapi sebenarnya tidak.

Contohnya: Setiap kali katak berbunyi, hujan akan turun selepas itu.

Kesimpulannya, bunyi katak menyebabkan hujan turun. Cara berfikir ini silap kerana hujan boleh turun walaupun tiada bunyi katak. Untuk mengelakkan falasi jenis ini, kita perlu lihat dengan teliti hubungan antara A dan B. Adakah wujud hubungan sebab akibat antara kedua-duanya atau apa yang berlaku hanyalah kebetulan.

Falasi menagih simpati (appeal to emotion) Hujahan jenis ini bukan berasaskan hujah logik, tetapi untuk mendapat simpati pihak lain. Contohnya, seseorang yang bersalah dipertahankan semata-mata kerana ia sudah tua atau kerana ia anak yatim piatu.

Falasi rujukan kepada autoriti (appeal to authority/halo effect) Hujahan yang tidak didasarkan kepada pemikiran logik, tetapi disandarkan pada kuasa atau pengaruh pihak tertentu. Contohnya, apabila orang yang berkuasa atau berpengaruh membuat sesuatu, maka diandaikan bahawa semua tindakannya adalah betul.



PENUTUP

Bab ini berusaha mengajak pelajar untuk memahami cara dan kaedah berfikir dengan betul dan benar melalui ilmu logik. Pendekatan ini akan menjadikan pelajar berkebolehan menilai sesuatu hujah, pendapat, dan penjelasan yang disampaikan oleh pihak lain sama ada benar atau tidak benar, sah atau tidak sah. Melalui pendekatan ini juga, pelajar boleh mengelak daripada perangkap-perangkap berfikir yang boleh mengelirukan dan menyesatkan melalui pendedahan tentang falasi. Terdapat pelbagai lagi jenis falasi dan kesilapan berfikir yang tidak disebut di sini, namun boleh didapati perbincangannya di dalam buku-buku berkaitan logik.



LATIHAN

Nilai contoh-contoh hujahan di bawah. Kemudian tentukan jenis falasi yang berlaku sama ada formal atau tidak formal serta jelaskan sebab.

1. Ahli-ahli falsafah Yunani terkenal sebagai pengamal homoseksual. Jadi, teori mereka bahawa alam semesta ini terbina daripada atom-atom sepatutnya ditolak. 2. Jika dolfin adalah mamalia, maka ia bukan sejenis ikan. Dolfin adalah sejenis ikan. Jadi, dolfin bukan mamalia. 3. Kita tidak nampak walau seekor pun burung di kawasan ini. Jadi, pasti tiada burung yang hidup di sini. 4. Jika dia tidak bersalah, dia pasti bertegas menyatakan bahawa dia tidak bersalah. Nampaknya dia bertegas menyatakan bahawa dia tidak bersalah. Jadi, memang dia tidak bersalah. 5. “Jika kamu tidak bersetuju dengan saya, kamu akan dipukul”. 6. Setiap hari media massa melaporkan remaja yang terlibat dengan masalah jenayah. Jadi, nampaknya semua remaja mempunyai masalah moral.



RUJUKAN

Adil Mustafa (2007). Al-Mughalatat al-Mantiqiyyah. Kaherah: Al-Majlis al-A’la li al-Thaqafah. Hales, Steven D. (2013). This is Philosophy. UK: John Wiley and Sons Inc. Hamidah Abdul Hamid (1991). Pengantar Logik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hashim bin Haji Musa (2001). Falsafah, Logik, Teori Nilai dan Etika Melayu: Suatu Pengenalan. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu. Lok Chong Hoe (2014). Teknik-Teknik Penaakulan. USM: Penerbit USM. Mohd. Azhar Abdul Hamid (2007). Meningkatkan Daya Fikir. Kuala Lumpur: PTS Professional.

Sariyan, Awang (2007). Falsafah dan Logika Melayu. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu. Solomon, Robert C. dan Higgins, Kathleen M. (2010). The Big Questions: A Short Introduction to Philosophy. Austin: Wadsworth CENGAGE Learning. Van Cleave, Matthew J. (2016). Introduction to Logic and Critical Thinking. Lansing Community College.

BAB 5

PSIKOLOGI DAN SOSIOLOGI

(KONSEP INSAN I)

Nik Yusri Musa & Azman Bidin

HASIL PEMBELAJARAN • Menjelaskan konsep manusia menurut perspektif aliran pemikiran falsafah dan keagamaan. • Menjelaskan faham-faham utama tentang asal usul insan dan konsepkonsep utama yang mencirikan keinsanan. • Menghuraikan asal usul kejadian, sifat fitrah semulajadi serta peranan manusia sebagai panduan ke arah pembentukan pandangan alam yang jelas dan sepadu dengan sistem pendidikan negara. • Menghubungkaitkan antara konsep manusia menurut pemahaman yang jelas dengan pembentukan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.



PENDAHULUAN Bab ini akan menghuraikan konsep manusia menurut perspektif falsafah, agama dan sains. Sepanjang sejarah peradaban dan ketamadunan manusia, terdapat pelbagai aliran pemikiran falsafah serta kepercayaan mengenai konsep manusia. Kepelbagaian tersebut berteraskan kepada kerangka pemikiran yang terhasil daripada penelitian, pengalaman dan pemahaman individu yang mempelopori aliran pemikiran pada zamannya. Pemahaman dan pemikiran yang jelas mengenai konsep manusia yang merangkumi asal usul kejadian, entiti yang membentuk manusia, tugas dan peranan manusia

adalah amat penting bagi memahami makna kehidupan itu sendiri.



KONSEP MANUSIA DALAM KEPELBAGAIAN FALSAFAH

Perbincangan mengenai manusia menjadi fokus utama dalam bidang falsafah. Konsep manusia dipelopori oleh ahli falsafah dalam usaha mencari makna diri demi mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Justeru para failasuf sama ada Barat atau Timur mempunyai falsafah tersendiri mengenai manusia hasil daripada penelitian mereka terhadap pengalaman dan kehidupan manusia.



KONSEP MANUSIA MENURUT ALIRAN PEMIKIRAN FALSAFAH BARAT

Barat melalui tiga zaman iaitu zaman klasik (peradaban Yunani), zaman pertengahan (penguasaan gereja Romawi (474-1492M) dan zaman moden yang ditandai dengan kemunculan gerakan Renaissance. Pada zaman klasik, terdapat beberapa ahli falsafah yang membicarakan mengenai konsep manusia. Aristotle (384SM-322SM) umpamanya melihat manusia sebagai makhluk atau kehidupan yang berfikir, ‘Man is a rational animal’. Pemikiran rasional merupakan ciri utama pengenalan sebagai manusia. Kebolehan berfikir secara rasional ini dikatakan suatu keistimewaan yang hanya dimiliki oleh manusia. Pandangan ini dikritik kerana terlalu bersifat logosentrisme iaitu melihat manusia berpusatkan akal fikiran rasional dan intelektual semata-mata. Friedrich Nietzsche (1844M-1900M) ahli falsafah Jerman, menyatakan bahawa aspek yang lebih menarik tentang konsep insan atau kemanusiaan ini bukanlah bersifat logosentrik; bahkan berteraskan kepada emosi manusia yang mungkin tidak bersifat rasional. Manakala falsafah Barat pada zaman pertengahan pula dipengaruhi oleh fahaman agama khususnya agama Kristian. Manusia dilihat sebagai makhluk ciptaan tuhan yang seharusnya patuh kepada hukum-hukum tuhan.

Konsep manusia yang merangkumi asal usul, peranan, sifat dan ciri-cirinya dilihat dari perspektif keagamaan. Falsafah Barat moden pula, umpamanya fahaman eksistensialisme yang dibawa oleh Jean Paul Sartre (1905M1980M) dan lain-lainnya menganggap bahawa manusia itu dilahirkan tanpa panduan dalam hidup dan tanpa sifat kerohanian. Tugas manusia apabila berada di dunia ini ialah untuk mencari makna dalam kehidupannya sendiri. Pandangan umum sarjana Barat mengenai manusia dapat dirumuskan melalui idea Protagoras (481-411SM) dari golongan Sophist (Safastaiyyin dalam bahasa Arab), beliau berpendapat: bahawa manusia adalah ukuran untuk segala-galanya, bagi yang ada kerana adanya, bagi yang tiada kerana tidak adanya. Secara umumnya bermaksud bahawa manusia mempunyai pendirian dan nilainya sendiri. Kebenaran umum tidak ada, malah boleh berubah-ubah setiap waktu. Apa yang benar bagi orang tertentu mungkin tidak benar kepada individu lain. Ia mungkin benar pada hari ini, namun belum tentu lagi benar kemudian hari. Setiap orang mempunyai sistem nilainya sendiri. Tidak ada kebenaran objektif yang bersifat universal, kecuali menurut objektif masing-masing. Ia merupakan pandangan relativisme berkaitan manusia. Konsep manusia menurut perspektif sarjana Barat secara umumnya berteraskan pemikiran ahli falsafah mereka pada zaman klasik. Penambahbaikan terhadap konsep manusia menurut pandangan ahli falsafah zaman klasik berlaku pada zaman renaissance apabila lahirnya semangat untuk mencari kebenaran berdasarkan kepada sains.



KONSEP MANUSIA DALAM ALIRAN PEMIKIRAN FALSAFAH INDIA

Dalam tamadun India, manusia dilihat dari perspektif keagamaan iaitu agama Hindu. Manusia dianggap sebagai kejadian yang mempunyai roh atau jiwa yang diistilahkan sebagai Atman. Atman yang menggerakkan raga atau tubuh manusia. Atman merupakan percikan dari Brahman yang dianggap sebagai alam ketuhanan (the divine). Terdapat juga konsep

kefahaman kelahiran semula dalam fahaman hinduisme. Mengikut fahaman ini, bentuk dan sifat manusia dilahirkan semula bergantung kepada apa yang dilakukannya di bumi. Sekiranya manusia melakukan kebaikan dalam hidupnya, maka dia akan mendapat balasan yang baik dan akan dilahirkan semula dalam bentuk yang lebih baik. Sebaliknya jika manusia melakukan kejahatan, maka dia akan dilahirkan semula dalam bentuk yang lebih rendah martabatnya seperti haiwan dan seumpamanya. Dari aspek ini, maka konsep insan dilihat dari sudut metafizik dan juga etika. Konsep metafizik bermaksud wujudnya konsep kelahiran semula. Manakala etika pula merujuk kepada suruhan kepada manusia supaya melakukan tindakan yang baik untuk mencapai darjat yang lebih tinggi atau kesejahteraan dalam hidupnya.



KONSEP MANUSIA DALAM ALIRAN PEMIKIRAN FALSAFAH CINA

Pemikiran falsafah dalam tamadun Cina terbahagi kepada tiga serangkai ajaran iaitu Buddhism, Konfusianisme dan Taoisme. Menurut Buddhisme, kehidupan ini adalah kesengsaraan dan penderitaan. Realiti kehidupan ialah manusia akan sentiasa menghadapi penderitaan dan ini adalah keadaan semula jadi kehidupannya. Manusia boleh melakukan sesuatu untuk membebaskan dirinya daripada ikatan kesengsaraan ini. Untuk itu, manusia memahami hakikat sebenar kehidupan dan bertindak mengikut realiti itu. Tiada suatu pun yang kekal dan semuanya akan berubah daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain. Umpamanya apabila manusia bergantung kepada sesuatu yang tidak kekal, maka sudah tentulah keadaannya juga akan turut berubah dan tidak kekal. Justeru, untuk mengelak daripada kesengsaraan, seseorang itu tidak seharusnya bergantung kepada dunia, kebendaan, manusia, pangkat, kekayaan dan sebagainya kerana semua ini tidak kekal. Kebergantungan kepada sesuatu yang tidak kekal akan membawa kepada kesengsaraan. Fahaman Konfusianisme pula menekankan prinsip-prinsip etika yang

harus diikuti dalam usaha mencapai kebahagiaan. Antara prinsip-prinsip tersebut ialah penghormatan yang seharusnya diberikan oleh anak-anak kepada ibu bapa mereka. Anak-anak tidak harus melawan ataupun menyakiti ibu bapa bahkan sepatutnya berkhidmat dan membahagiakan keduanya. Konfusianisme juga mengajar manusia bagaimana untuk mentadbir masyarakat dengan cara yang adil lagi saksama serta membawa kepada kebahagiaan kepada masyarakat keseluruhannya. Konfusianisme secara umumnya menumpukan kepada lima hubungan utama sebagai teras etika hubungan sesama manusia. Dalam fahaman Taoisme pula, terdapat konsep wu wei yang diterjemahkan oleh sesetengah pihak sebagai tidak bertindak ataupun boleh difahami juga dengan tindakan yang selari dengan fitrah alamiah. Konsep wu wei lebih tepat diterjemahkan sebagai bertindak mengikut aliran ataupun mengikut fitrah alamiah. Untuk itu manusia tidak seharusnya meletakkan kepentingan dirinya dalam melakukan sesuatu tindakan. Jadi, hubungan manusia dengan alam dan kefahaman tentang sifat manusia serta hubungannya dengan alam adalah penting dalam fahaman Taoisme.



KONSEP MANUSIA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Terdapat beberapa nama atau istilah yang merujuk kepada manusia. 1. Al-Insan. Dinyatakan sebanyak 65 kali kalimah al-Insan dalam alQuran. Terdapat satu surah dinamakan surah al-Insan. 2. Al-Nas. Perkataan al-Nas disebut sebanyak 368 kali dalam al-Quran. Terdapat satu surah dinamakan surah al-Nas. 3. Al-Ins. Lafaz al-Ins dinyatakan sebanyak 19 kali dalam al-Quran. 18 kali dinyatakan bersama lafaz al-Jin dan satu kali dinyatakan bersama kalimah al-Basyar. 4. Al-Basyar dinyatakan sebanyak 37 kali dalam al-Quran. 5. Bani Adam (Keturunan Adam a.s.). Istilah ini merupakan suatu bentuk penegasan dari Allah SWT bahawa semua manusia adalah dari keturunan Adam a.s.



Istilah-istilah tersebut memberi maksud dan konsep yang berbeza mengenai manusia berdasarkan kepada asal usul kejadian, sifat peribadi serta tugas peranan manusia di bumi serta kesudahan terakhir perjalanan hidupnya.



ASAL USUL KEJADIAN MANUSIA

Asal Usul Kejadian Adam

Menurut Islam, Adam a.s. merupakan manusia lelaki pertama yang diciptakan Allah SWT daripada tanah. (al-Quran, Shad, 38: 71). Kemudian diciptakan daripada tulang rusuk Adam a.s., seorang perempuan yang dinamakan Hawa sebagai teman hidupnya. (al-Bukhari: 3331, Muslim 1468). Kejadian Adam daripada tanah melalui peringkat, proses dan komponen tertentu sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran. Kejadian bermula daripada sari pati tanah kering yang disaring (‫) ساللة من طين‬, kemudian berubah kepada tanah yang melekit ( ‫) طين الزب‬, kemudian kepada peringkat tanah yang berbau (‫ )حماء مسنون‬kemudian menjadi tanah yang keras ( ‫صلصال‬ ‫) كالفخار‬. Proses dan peringkat kejadian Adam ini dinyatakan dalam beberapa surah dalam al-Quran.

Kejadian Zuriat Keturunan Adam

Zuriat keturunan Adam dan Hawa selepasnya terjadi menerusi proses kelahiran. Proses kelahiran manusia dihubungkaitkan dengan keagungan dan kekuasaan Allah SWT berteraskan kepada aspek sebab musabab atau sebab akibat. Al-Quran dan hadis menghuraikan proses ini bermula daripada proses persetubuhan yang berlaku antara seorang lelaki dengan perempuan, daripada air mani sehingga terbentuknya janin dalam kandungan dan akhirnya lahirlah seorang manusia. (al-Quran, alMu’minun, 23:12-14)

Manusia terdiri daripada dua unsur iaitu unsur jasmani (jasad) dan unsur rohani (roh). Unsur jasmani manusia berasal daripada tanah, manakala unsur rohani pula daripada roh yang dihembuskan Allah SWT ke dalam jasad manusia (al-Quran, Shad, 38: 71-72). Melalui unsur jasad, maka terbentuklah struktur kerangka tubuh badan manusia. Sementara unsur rohani pula menghidup dan menggerakkan fizikal manusia sebagai satu makhluk yang berkemahuan dan berkeinginan.

Menurut al-Ghazali, entiti kerohanian manusia terdiri daripada empat unsur iaitu: 1. Hati yang mewakili unsur dan alam keinsanan manusia 2. Roh yang mewakili alam ketuhanan 3. Akal yang mewakili alam kemalaikatan manusia 4. Nafsu yang mewakili alam kebinatangan manusia

Empat unsur inilah secara umumnya membentuk entiti kerohanian manusia. Proses kejadian zuriat keturunan Adam dan Hawa bermula dengan peringkat nutfah iaitu campuran air mani lelaki dan perempuan (al-Insan, 76:2). Kemudian ia berubah menjadi alaqah iaitu air mani bertukar menjadi segumpal darah yang melekat pada rahim ibu setelah melalui proses tertentu dan dalam tempoh tertentu (al-Mu’minun, 18:14). Kemudian ia berubah lagi menjadi mudghah iaitu seketul daging yang membentuk janin manusia (al-Mu’minun, 18:14) dan kemudian berubah kepada peringkat seterusnya izam dan lahm iaitu pembentukan tulang dan daging sehingga menampilkan struktur asas tubuh manusia (al-Mu’minun, 18:14). Peringkat seterusnya ialah khalqan akhar iaitu pembentukan kejadian manusia sebagai makhluk insan dan ditiupkan roh untuk hidup (al-Mu’minun, 18:1314).



KEJADIAN MANUSIA MENURUT SAINS

Kejadian manusia menurut perspektif sains adalah melalui tiga proses atau

peringkat: 1. Peringkat Pre-embrionik 2. Peringkat Embrionik. 3. Peringkat Fetus

Proses bermula dengan percampuran antara sel sperma lelaki dengan sel ovum perempuan (nutfah). Kemudian blastosit menempel pada uterus (alaqah) dan kemudian berubah kepada peringkat embrio (mudghah, izam dan lahm). Proses kejadian dan tahap perkembangan manusia dalam kandungan rahim seorang perempuan menurut perspektif sains adalah sama sebagaimana dinyatakan di alam al-Quran. Ini adalah salah satu bentuk mukjizat ilmu di dalam al-Quran yang mendahului zaman kerana ilmu mengenai anatomi manusia pada masa tersebut masih belum dikaji oleh manusia.



FITRAH SEMULAJADI MANUSIA

Kalimah al-Insan dalam al-Quran secara umumnya bermaksud manusia sebagai makhluk Allah SWT yang memiliki sifat fitrah tabii tersendiri. Antaranya: 1. Manusia bersedia menerima dan memberi ilmu (al-Baqarah, 2:31) (alRahman, 55:3-4). 2. Manusia menjalani kehidupan dengan penuh kesukaran, kerumitan dan kepayahan untuk kehidupan (al-Balad, 90:4, al-Insyiqaq, 84:6). 3. Manusia amat suka membantah dan mengkritik (al-Kahfi,18:54). 4. Manusia merupakan makhluk yang lemah (al-Nisa, 4:27-28) (al-Rum, 30:54). 5. Manusia melampaui batas apabila merasakan dirinya serba cukup (al-‘Alaq, 96:6-7). 6. Manusia bersifat bakhil kerana takutkan kemiskinan. (al-Isra’, 17:100). 7. Manusia bersifat gelisah lagi bakhil (al-Maarij, 70: 19-21).

Beberapa sifat fitrah semula jadi manusia juga dapat dilihat melalui kandungan Bible, antaranya ialah kehidupan manusia di dunia akan melalui kesukaran, kerumitan dan kepenatan dalam usahanya mencari rezeki. Dalam kitab kejadian, 3:17, umpamanya, dinyatakan:

“Dengan berpeluh engkau akan mencari makananmu, sampai engkau kembali lagi menjadi tanah, kerana dari situlah engkau diambil, sebab engkau debu dan engkau akan kembali menjadi debu”. (Kejadian, 3:19).



TUGAS DAN PERANAN MANUSIA DI DUNIA

Tugas dan peranan manusia dalam kehidupan alam dunia terbentuk dalam dua aspek hubungan: 1. Hubungannya dengan Allah SWT. Dalam konteks ini, maka manusia berperanan sebagai makhluk Allah SWT dan sebagai hamba-Nya. 2. Hubungannya dengan sesama manusia dan alam seluruhnya. Dari aspek ini, manusia berperanan sebagai khalifah yang saling berganti generasi demi generasi bagi menguruskan alam mengikut ketetapan Pencipta-Nya.

Peranan manusia sebagai khalifah yang diberi hak menguruskan dan mentadbir alam dunia juga dapat dilihat menerusi pernyataan Bible: Kitab Kejadian, 1: 28 tertulis: “Allah memberkati mereka, lalu Allah berfirman kepada mereka “Beranak cuculah dan bertambah banyak, penuhilah bumi dan taklukanlah itu, berkuasalah ke atas ikan-ikan di laut dan burungburung di udara dan atas segala binatang yang merayap di bumi”.



KONSEP MANUSIA DAN MATLAMAT PENDIDIKAN



Setiap peradaban manusia memberi penumpuan kepada aspek pendidikan. Fenomena ini memberi gambaran bahawa setiap peradaban memahami bahawa fitrah manusia secara umumnya boleh dibentuk dan dilentur menerusi pendidikan. Justeru, melihat konsep manusia secara menyeluruh yang merangkumi aspek jasmani, intelek, emosi dan rohani merupakan suatu perkara yang sangat asas untuk membina satu sistem pendidikan yang mengambil kira kesemua aspek dan potensi kemanusiaan. Memahami manusia secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu berasaskan fitrah kejadiannya amat penting agar kandungan, proses dan pengkaedahan pendidikan yang dibina dapat membantu untuk mencapai falsafah atau tujuan tertinggi pendidikan sesebuah negara. Kesilapan memahami konsep manusia secara tepat akan melahirkan sistem pendidikan yang pincang dan tiada keharmonian dengan realiti manusia itu sendiri. Perlu diingat bahawa pendidikan adalah suatu usaha yang berterusan dan tidak pernah berhenti. Tujuan pendidikan bukan setakat melahirkan pekerja bagi memajukan negara malahan yang lebih utama ialah menghasilkan insan yang baik dan sejahtera. Insan yang sejahtera inilah yang berupaya membangunkan diri secara bermaruah dan memberi sumbangan kepada keluarga, komuniti, masyarakat, bangsa, negara dan antarabangsa. Insan sejahtera inilah juga yang mempunyai hubungan vertikal yang baik dengan Tuhan (sebagai hamba yang taat dan khalifah yang cekap) dan hubungan horizontal yang baik dengan manusia dan alam persekitarannya. Kesemua ciri-ciri ini selari dan amat bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Rukun Negara yang menjadi teras utama dalam membangunkan peradaban di negara kita.



PENUTUP

Pendedahan kepada konsep manusia melalui kaca mata pelbagai pemikiran falsafah keagamaan dan sains dalam bab ini diharap dapat membantu

pelajar untuk lebih memahami konsep manusia dari pelbagai perspektif. Perbincangan konsep manusia dalam disiplin ilmu falsafah dan teologi adalah berteraskan kepada hakikat bahawa manusia perlu mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan dalam hidup. Konsep kebahagiaan dan kesejahteraan hidup manusia tidak dapat dipisahkan dari aspek keharmonian dan keseimbangan antara aspek jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Akhir sekali adalah menjadi harapan supaya para pelajar dapat memahami konsep insan sejahtera bagi mendepani sebarang krisis yang melanda kehidupan pada masa kini dan juga pada masa hadapan.



LATIHAN

1 . Nyatakan kronologi aliran falsafah Barat dan jelaskan salah satu konsep manusia menurut aliran pemikiran Barat sebagaimana yang anda fahami. 2 . Huraikan konsep manusia menurut perspektif Islam. 3. Jelaskan konsep manusia menurut salah satu daripada pemikiran falsafah di bawah: Buddhisme. Konfusianisme. Taoisme. Hinduisme 4. Apakah yang difahami daripada pernyataan bahawa manusia adalah makhluk yang bersedia memberi dan menerima ilmu?



RUJUKAN

Abdul Rahman Abdullah (2002). Tradisi Falsafah Ilmu: Pengantar Sejarah dan Falsafah Sains, Selangor: Pustaka Ilmi.

Abdul Rahman Abdullah (2016). Wacana Falsafah Barat: Tinjauan dan Kritikan, Kuala Lumpur: ITBM Abd al-Rahman Hassan Habannakah (2002). Al-Akhlaq Islamiyyah wa Ususuha, Dimasyq: Dar al-Qalam. Abu al-Yazid Abu Zayd al-‘Ajamy (2017). Haqiqat al-Insan Bayn alMas/uliyyat wa al-Takrim, Kaherah: al-Muasassah, al-‘Arabiyah alHadithah. Al-Ghazali (1989). Ihya Ulum al-Din, Kaherah: Dar al-Fikr. Al-Ghazali (1997). Minhaj al-‘Abidin, Beirut, Dar al-Basyair al-Islamiyyah. Hamka (2004). Pandangan Hidup Muslim, Selangor: Pustaka Dini. Ibn Qayyim al-Jawziyyah (2005). Miftah Dar al-Saadah, Mansourah: Dar al-Ghad al-Jadid. Ibn Qudamah al-Maqdisi (t.t). Minhaj al-Qasidin, Kaherah: Mak Dakwah al-Islamiyyah Lembaga al-kitab Indonesia (1993). Al-Kitab Mohd Noor Hj. Ibrahim, Abdullah BASMIEH, et al., (2001). Tafsir Pimpinan al-Rahman. Kuala Lumpur: Darul Fikir. Muhammad Fu’ad al-Baqi (1987). Al-Mu’jam al-Mufahris li al-Faz alQuran, Beirut: Dari al-Fikr. Yusuff al-Qaradhawi (1995). Syumul al-Islam, Kaherah: Maktabah Wahbah.





BAB 6

METAFIZIK

(KONSEP INSAN II)

Azman Bidin & Nik Yusri Musa



HASIL PEMBELAJARAN

• Menjelaskan hubungan antara insan dengan alam dalam konteks faham kosmologi silam dan ekologi semasa. • Menjelaskan kepercayaan dan hubungan antara insan dengan Tuhan berdasarkan dalam konteks teologi/kepercayaan/akidah kerohanian. • Menghuraikan pembentukan dan perkembangan sistem-sistem metafizik seperti teisme, monoteisme, ateisme, agnostisme, politeisme, monisme, pluralisme, atomisme, mekanisme, occasionalisme, realisme, idealisme dan nominalisme. • Menganalisis pembentukan metafizik yang lebih meluas kegunaannya dalam perkembangan sains, teknologi dan inovasi nasional.



PENDAHULUAN

Bab ini akan menjelaskan hubungan horizontal antara insan sebagai manusia dan alam sekeliling yang kita semua diami. Hubungan vertikal antara insan dan pencipta juga akan diperincikan. Seterusnya, perbincangan tentang sistem-sistem metafizik yang wujud dalam kalangan manusia akan dirungkai. Akhir sekali pembentukan metafizik akan dikaitkan dengan perkembangan ilmu pengetahuan.



HUBUNGAN INSAN DENGAN ALAM

Sebagai makhluk yang paling sempurna dibandingkan dengan makhlukmakhluk lain di dunia ini, manusia mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan kehidupan dan alam berkesinambungan antara satu sama lain. Penempatan Adam dan Hawa sebagai manusia pertama di bumi menjadikan alam dunia begitu dekat dan serasi dengan manusia. Bumi ini dilengkapkan dengan segala prasarana dan sumber kehidupan yang banyak untuk manusia hidup dengan penuh makna dan bahagia.

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah menempatkan kamu di bumi dan Kami menjadikan untuk kamu di bumi itu berbagai-bagai sumber untuk penerusan kehidupan kamu, amat sedikit benar bilangan kamu yang bersyukur”. (Al-A’araf, 7:10) “Allah memberkati mereka, lalu Allah berfirman kepada mereka: Beranak cuculah dan bertambah banyak, penuhilah bumi dan taklukkanlah itu, berkuasalah atas ikan-ikan di laut dan burungburung di udara dan atas segala binatang-binatang yang merayap di bumi”. (Kejadian: 1:28)



KOSMOLOGI

Perkataan kosmos bermaksud alam dan logi bererti ilmu. Secara umumnya, kosmologi adalah cabang ilmu astronomi yang berkait dengan kewujudan dan perubahan alam semesta dari awal kejadiannya hingga sekarang dan seterusnya. Sebagai insan yang berfikir, manusia mampu memahami asal kejadian alam ini sama ada dari sudut metafizik atau empirikal. Tidak timbul pandangan yang mana lebih tepat dan benar di peringkat ini. Apa yang lebih penting adalah kesedaran kita sebagai manusia yang mampu berfikir akan kewujudan diri dan alam sekeliling yang kita diami. Dari aspek lain, alam secara umumnya terbahagi kepada dua iaitu alam fizik dan metafizik. Alam fizik ialah alam nyata yang dapat digapai oleh pancaindera manusia, sama ada melalui perantaraan peralatan moden seperti teleskop dalam ilmu astronomi atau mikroskop dalam bidang sains

hayat. Manakala alam metafizik pula adalah alam yang tidak dapat dilihat oleh anggota pancaindera manusia, namun ia tetap wujud. Sebagai contoh, roh manusia tidak dapat dilihat dengan pancaindera manusia, namun tiada siapa yang menolak kewujudannya. Alam fizik disebut juga sebagai alam al-Syahadah, manakala alam metafizik pula sebagai alam al-Ghaib.



EKOLOGI

Ekologi adalah satu cabang sains yang mengkaji habitat dan interaksi di antara benda hidup dengan alam sekitar. Perkataan ini dicipta oleh pakar biologi Jerman Ernst Haeckel (1834-1919) pada tahun 1866. Beliau merupakan pengikut serta pendokong idea dan pandangan Charles Darwin (1809-1882). Asal perkataan ekologi adalah daripada perkataan Greek (oikos bererti ‘rumah’ dan logos bermakna ‘sains’). Perbincangan ilmu ekologi dapat dilihat dari aspek sains, falsafah dan agama. Dari aspek sains, ia merupakan salah satu cabang sains yang membincangkan habitat dan interaksi antara kehidupan dan alam sekitar. Dua tugas penting manusia yang berkait rapat dengan ekologi adalah pemeliharaan dan pemuliharaan alam. Semua kehidupan saling memerlukan dan saling bergantung antara satu dengan yang lain. Justeru aspek pemeliharaan dan pemuliharaan merupakan kaedah terbaik bagi menggambarkan situasi tersebut. Memelihara bermaksud menjaga dan melindungi alam seperti mengawal penebangan pokok dan menjaga keindahan serta kebersihan sungai. Manakala memulihara bererti memulih alam supaya berada dalam keadaan baik. Contohnya menanam pokok-pokok baharu, mewartakan kawasan hutan simpan dan membersihkan sungai yang tercemar. Langkah-langkah di atas amatlah penting kerana alam sekitarlah yang menyediakan sumber makanan kepada manusia. Selain itu, dengan memelihara dan memulihara alam sekitar bukan sahaja dapat mengekalkan sistem ekologi malah boleh memudahkan pergerakan manusia secara umumnya.

Dari aspek agama, manusia sebagai khalifah ditugaskan untuk mengurus dan mengatur alam sebagaimana dikehendaki oleh Tuhan yang mencipta alam ini melalui sistem yang serba teratur, teliti dan seimbang.

“Dia yang menciptakan tujuh petala langit yang berlapis-lapis, engkau tidak akan melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu suatu keadaan yang tidak seimbang, cuba engkau ulangi penelitian dan pemerhatian, (adakah engkau dapat melihat ketidakseimbangan atau kecacatan”. (Al-Mulk, 67:3)



HUBUNGAN INSAN DENGAN TUHAN

Fokus utama kehidupan ini ialah manusia dan segala yang berkaitan dengannya. Justeru, sepanjang sejarah peradaban manusia, merekalah yang mewarnai dan mencorakkan situasi alam. Mereka yang menentukan ketertiban serta keteraturan alam sama ada dikekalkan keharmoniannya atau dimanipulasikan mengikut kehendak dan kerakusan jiwa manusia. Segala gerak laku manusia, aktiviti dan tindakannya terhadap alam dan sesama mereka, selalunya bergantung kepada hubungan manusia dengan Tuhan. Jika baik hubungannya dengan Tuhan, maka baiklah tindakannya kepada alam. Jika buruk hubungannya dengan Tuhan, maka begitulah tindakannya terhadap alam dan sesama mereka. Ahli-ahli falsafah mengemukakan pandangan mereka masing-masing mengenai hubungan antara manusia, Tuhan dan alam. Menurut Descartes (1596-1650), kewujudan itu bermula dengan kemampuan berfikir akan kewujudan itu sendiri sebagaimana kata-katanya yang masyhur ‘Aku berfikir maka aku ada (Cogito Ergo Sum)’. Justeru, Tuhan itu wujud dan mustahil Tuhan menciptakan alam yang tidak boleh difahami oleh aku yang berfikir bahawa ‘aku itu ada’. Setelah memahami konsep kosmologi dan hubungan manusia dan alam, tajuk seterusnya akan membantu kita memahami peranan dan tanggungjawab manusia terhadap pencipta-Nya, Tuhan.



TEOLOGI/KEPERCAYAAN/AKIDAH

Teologi adalah hasil daripada proses pertimbangan dan penilaian akal manusia yang berkaitan dengan ketuhanan, keagamaan dan kerohanian. Setiap manusia mempunyai kepercayaan sendiri berdasarkan kedudukan geografi dan latar belakang kebudayaan masing-masing. Sebagai contoh, bangsa Eropah secara umumnya menerima ajaran Kristian sebagai anutan mereka. Manakala bangsa Arab di Timur Tengah menganut agama Islam. Dalam usaha untuk memahami konsep kosmologi, satu persoalan penting sering dibangkitkan dan jawapan yang diberikan adalah rencam. Siapakah yang mencipta alam ini dan juga manusia? Pertembungan di antara pemikiran berdasarkan sains dan metafizik berlaku dan terbentuklah pelbagai pandangan bagi menjelaskan perkara ini. Mereka yang berpegang kepada konsep empirikal sebagai sumber percaya kepada konsep evolusi yang diketengahkan oleh Darwin. Manakala golongan yang berpegang kepada metafizik pula tetap berpegang dengan apa yang disampaikan oleh agama masing-masing. Penganut agama samawi, iaitu Yahudi, Kristian dan Islam mempunyai kepercayaan atau akidah yang jelas berdasarkan kitab-kitab yang diwahyukan kepada nabinabi mereka iaitu Musa a.s., Isa a.s., dan Muhammad SAW.



KEROHANIAN

Kerohanian merujuk kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan roh (spiritual). Ia berkait rapat dengan perasaan dalaman manusia yang melibatkan emosi dan pertimbangan akal secara logik. Agama sangat menekankan konsep kerohanian kerana inilah sumber pegangan moral manusia secara umumnya. Kepentingan aspek rohani dalam pembangunan insan sangat berkait rapat dengan hubungan manusia dengan Tuhan. Dari perspektif Islam,

keimanan dan kepercayaan kepada Tuhan yang didasari oleh hakikat tauhid yang sebenar dapat dihasilkan melalui beberapa perkara. Antaranya ialah menginsafi kebesaran dan keesaan Allah SWT melalui ciptaan-Nya, mengambil pengajaran daripada kisah-kisah kaum terdahulu agar tidak mengulangi kesilapan yang sama, memelihara kesucian agama dengan menegakkan syariat agama dalam kehidupan serta yakin terhadap balasan akhirat di atas setiap bentuk perbuatan manusia di dunia ini.



ALIRAN PEMIKIRAN ATAU KEPERCAYAAN METAFIZIK

Antara persoalan yang ditimbulkan oleh metafizik adalah apakah realiti dan peranan manusia di dunia ini. Daripada persoalan ini, timbullah kefahaman tentang pelbagai pegangan yang dianuti oleh manusia sejak dari zamanberzaman yang dipanggil sebagai aliran pemikiran atau kepercayaan. Tiga aliran pemikiran atau kepercayaan berkaitan dengan metafizik yang utama adalah teisme, ateisme dan agnostisisme. Berikut adalah ismeisme yang perlu difahami secara umum:

• Teisme: Kepercayaan akan wujudnya Tuhan atau dewa-dewi. • Monoteisme: Kepercayaan akan wujudnya hanya SATU Tuhan • Ateisme: Kepercayaan yang menafikan kewujudan Tuhan • Agnostisisme: Pandangan bahawa ada atau tidaknya Tuhan adalah sesuatu yang tidak diketahui atau tidak dapat diketahui. • Politeisme: Kepercayaan kepada banyak Tuhan dan dewa-dewi. • Monoisme: Kepercayaan bahawa hanya ada satu entiti dalam alam. • Pluralisme: Kepercayaan yang menerima semua agama-agama yang ada sebagai benar. • Atomisme: Kepercayaan bahawa dunia fizikal terbentuk daripada komponen atom yang tidak boleh dirungkai. • Okasionalisme: Kepercayaan bahawa jiwa dan tubuh tidak berhubung dalam hubungan sebab dan musabab, tetapi hanya dimungkinkan dengan perantaraan Tuhan.

• Realisme: Kepercayaan terhadap dunia tanpa ilusi atau sebarang penjelasan tertentu. Dunia seadanya. • Idealisme: Kepercayaan bahawa realiti tidak boleh dipisahkan daripada kefahaman dan persepsi manusia. • Nominalisme: Kepercayaan bahawa konsep umum tentang sesuatu perkara tidak menunjukkan perkara yang sebenar.



METAFIZIK UNTUK KEMAJUAN ILMU

Perbincangan mengenai metafizik sering dibahaskan ahli falsafah, sains dan agama. Para failasuf merujuk perbincangan mengenai metafizik kepada akal dan para saintis pula menjadikan pancaindera sebagai asas rujukan. Manakala ahli agama pula menjadikan wahyu sebagai teras kepercayaan. Ketiga-tiga disiplin ilmu ini tidak seharusnya dipertentangkan bahkan diharmonikan dan saling menguatkan antara satu sama lain demi mencari kebenaran dan mencapai kebahagiaan dalam kehidupan. Terdapat beberapa pandangan berkaitan metafizik yang perlu diperhalusi. Positivisme umpamanya berpendapat bahawa sains merupakan satu-satunya pengetahuan yang sah. Manakala fakta empirikal adalah pernyataan paling kukuh untuk menerangkan tujuan pengetahuan. Ianya tidak menerima sebarang unsur metafizik atau apa sahaja kaedah penyelidikan yang tidak dapat disahkan dengan kaedah-kaedah sains empirikal. Pendapat di atas tidak boleh diterima secara mutlak. Ini kerana terdapat pelbagai kejayaan besar yang dicapai oleh para saintis masa kini dan masa lampau walaupun tetap berpegang teguh kepada ajaran agama dan kepercayaan kepada metafizik. Adakah wujud pemisahan di antara kepercayaan metafizik dan kemajuan sains? Secara umumnya, agama dan pegangan isme yang dibincangkan sebelum ini memisahkan antara sains dan metafizik. Namun begitu, Islam sekali-kali tidak menganggap sains terpisah daripada ajaran yang disampaikan melalui wahyu kepada Nabi Muhammad SAW. Malah Islam

menyeru supaya manusia sentiasa mempunyai sifat ingin tahu dan bertanya tentang alam, kewujudan mereka dan hubungan mereka dengan Yang Maha Pencipta. Kita disarankan untuk menggunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk mengkaji dan menghasilkan apa sahaja kebaikan yang boleh diberikan kepada manusia sejagat. Kaedah saintifik dan empirikal perlu dipelajari dan diambil manfaat untuk kemajuan manusia. Tiada pertentangan antara sains, metafizik (falsafah) dan agama jika manusia memahaminya dengan baik dan mampu meletakkan setiapnya di tempat yang benar. Dengan berpandukan ajaran yang dipegang dalam agama masing-masing, kita sepatutnya menggunakan kepercayaan metafizik untuk lebih mendalami ilmu untuk kemajuan manusia sejagat.



PENUTUP

Pendedahan kepada konsep manusia dalam memahami hubungan insan dengan alam dan juga pencipta dapat membantu pelajar menggapai matlamat kehidupan yang sebenar. Kefahaman tentang kewujudan pelbagai sistem metafizik yang dianuti dan diikuti oleh manusia seharusnya membantu manusia itu sendiri dalam membuat penilaian tentang kebenaran secara ilmiah.



LATIHAN 1. Mengapakah hubungan horizontal insan dengan alam penting dalam memahami metafizik? 2. Jelaskan kepentingan hubungan vertikal insan dengan Tuhan. 3. Berikan secara ringkas ciri-ciri tiga sistem metafizik. 4. Apakah hubungan antara metafizik dan perkembangan ilmu pengetahuan?



RUJUKAN

Al-Attas, SMN. (1995). Prolegomena to the Metaphysics of Islam. Kuala Lumpur: ISTAC. ALatifS. (1993). Pengenalan Sejarah dan Falsafah Sains Bercanda dengan Tuhan. Kuala Lumpur: DBP KPM. J, Sudarminta. (2006). Sama-Sama Berkisah Tentang Keagungan Tuhan? Dalam Zainal Abidin, Liek, Arqom, dan M. Yusuf (eds.), Ilmu, Etika dan Agama: Menyingkap Tabir Alam dan Manusia, Yogyakarta: CRCS UGM. Karlina Supelli. (2006). Bercanda dengan Tuhan. Dalam Zainal Abidin, Liek, Arqom, dan M. Yusuf (eds.), Ilmu, Etika dan Agama: Menyingkap Tabir Alam dan Manusia, Yogyakarta: CRCS UGM. Louis Leahy. (2006). Sains dan Agama dalam Perdebatan. Dalam Zainal Abidin, Liek, Arqom, dan M. Yusuf (eds.), Ilmu, Etika dan Agama: Menyingkap Tabir Alam dan Manusia, Yogyakarta: CRCS UGM. Machasin. (2006). Penciptaan dalam Islam dan Tanggapan terhadap Teoriteori Ilmiah Baru. Dalam Zainal Abidin, Liek, Arqom, dan M. Yusuf (eds.), Ilmu, Etika dan Agama: Menyingkap Tabir Alam dan Manusia, Yogyakarta: CRCS UGM. Zainal Abidin Bagir. (2006). Sains dan Agama-Agama: Perbandingan Beberapa Tipologi Mutakhir. Dalam Zainal Abidin, Liek, Arqom, dan M. Yusuf (eds.), Ilmu, Etika dan Agama: Menyingkap Tabir Alam dan Manusia, Yogyakarta: CRCS UGM. Zainal Abidin, Sains dan Agama-Agama: Perbandingan Beberapa Tipologi Mutakhir (ms 3-18) dlm Zainal Abidin Bagir et. al. (2006).

BAB 7

EPISTEMOLOGI

Mohd Kamil Ahmad & Nurul Iman Mohd Zain



HASIL PEMBELAJARAN • Menjelaskan perkembangan revolusi sains serta kesan-kesan epistemologi yang tercetus darinya. • Menjelaskan peranan epistemologi sebagai pemacu perkembangan serta penjanaan ilmu pengetahuan baharu. • Menghuraikan prinsip kebenaran ilmu dan teori-teori utama kebenaran iaitu teori koresponden, teori koheren dan teori pragmatik. • Menganalisis sintesis perkembangan ilmu pengetahuan semasa serta peranan epistemologi sebagai pemacu penjanaan ilmu pengetahuan.



PENDAHULUAN

Epistemologi boleh dianggap sebagai isu paling utama dalam perbahasan falsafah kerana ia paling mempengaruhi bentuk pemikiran seseorang (Muhammad, 2001). Ini kerana ilmu pengetahuan bukan sahaja alat, malah merupakan matlamat bagi manusia. Ilmu membantu manusia memahami realiti dunia di sekelilingnya, sama ada yang nampak atau ghaib, serta menyedari fungsi, peranan dan justifikasi kewujudannya di atas muka bumi. Epistemologi pada asasnya merupakan istilah yang terbina daripada dua perkataan dalam bahasa Yunani iaitu: Episteme, yang bermaksud ilmu, dan logos yang bermaksud antaranya: ilmu, kritik, teori, dan kajian. Dengan itu, epistemologi bermaksud: ilmu tentang ilmu, atau kajian mengenai ilmu, atau disebut juga teori ilmu (Al-Jabiri, 2002). Secara ringkas menurut Zaki (2018) dan al-Karsawi (2018), permasalahan-permasalahan yang dibahaskan oleh ahli falsafah dalam bab

epistemologi boleh dirumuskan kepada tiga persoalan utama iaitu: 1.Apakah hakikat ilmu bagi manusia? 2.Apakah sumber untuk mendapatkan ilmu pengetahuan? 3.Adakah manusia mampu mengetahui semua benda tanpa had, atau adakah ilmu manusia terhad?

Perbincangan mengenai epistemologi dalam bab ini akan disusun berdasarkan persoalan-persoalan di atas.



SEJARAH EPISTEMOLOGI DAN KESAN REVOLUSI SAINS

Jika disoroti sejarah falsafah, secara amnya pada zaman klasik dan pertengahan, persoalan epistemologi hanya dibincangkan secara berselerak dalam pelbagai bab. Namun, bermula pada kurun ke-17 khususnya di Barat sehinggalah ke hari ini, ia mula menjadi topik perbahasan utama dan tumpuan khusus mula diberikan kepada cabang falsafah ini, selaras dengan perkembangan sains dan matematik yang berlaku pada era tersebut (Ahmad Sunawari, 2006 dan Al-Karsawi, 2018). Jika pada zaman sebelumnya misalnya pada era Greek, ilmu sains cuma bersifat teoritikal dan spekulatif yang tidak diasaskan melalui eksperimen, pada era ini teori-teori sains mula dibuktikan kebenarannya melalui kajian-kajian bersifat eksperimental dengan bukti-bukti empirikal. Falsafah pada zaman ini mula menekankan mengenai keperluan untuk melakukan pembuktian sains dengan penghujahan secara intelektual, rasional, dan empirikal. Era ini boleh dianggap sebagai kemuncak perkembangan epistemologi yang banyak menyumbang kepada kemajuan ilmu, sains, teknologi dan lain-lain yang dikecapi pada hari ini. Namun, seiring dengan perkembangan ini, proses pemisahan ilmu pengetahuan daripada nilai-nilai agama Kristian juga turut bermula (Abdul Rahman Abdullah, 2005). Kesannya, penyelidikan dan penghasilan ilmu di Barat mula disesuaikan dengan keadaan neutral nilai atau dikenali sebagai konsep bebas nilai. Perkembangan ini secara tidak langsung telah

melahirkan pelbagai mazhab dengan pelbagai pendirian kesan perbezaan pada asas dan sudut pandang setiap aliran terhadap pelbagai permasalahan ilmu. Secara ringkas, perbezaan pendirian ini terutama berkaitan persoalan mengenai sumber ilmu yang sah, walaupun tidak dinafikan kesemuanya mempunyai sumbangan kepada perkembangan ilmu, namun pada masa yang sama, kelemahan dan kesalahan setiap pendirian ini perlu disedari dan dielakkan bagi menjamin ilmu yang dijana tidak terkeluar dari kerangka dan pandangan alam yang sah.



HAKIKAT ILMU

Perkara pertama yang menjadi persoalan dalam epistemologi ialah: Apa definisi yang tepat bagi ilmu? Terdapat pelbagai definisi yang diutarakan oleh ahli falsafah. Walaupun secara amnya tiada satu pun definisi ilmu yang selamat daripada kritikan, namun definisi klasik yang diterima oleh kebanyakan ahli falsafah ialah, ilmu boleh ditakrifkan sebagai “kepercayaan yang benar berasaskan justifikasi” (justified true belief) (Al-Karsawi, 2018).

Ringkasnya, untuk menganggap sesuatu perkara sebagai ilmu, tiga asas utama perlu dipenuhi iaitu: 1.Kepercayaan – Kerana seseorang yang tidak percaya kepada sesuatu perkara tidak dianggap mempunyai ilmu mengenai perkara itu. 2.Kebenaran – Seterusnya, kepercayaan itu mestilah benar kerana perkara yang tidak benar tidak dianggap sebagai ilmu. Pernyataan “Saya tahu Bachok adalah ibu negeri Kelantan” misalnya tidak dianggap ilmu kerana kepercayaan ini adalah tidak benar. 3.Justifikasi – Bukan semua kepercayaan benar dianggap ilmu kerana sebahagian kepercayaan mungkin terbit daripada sangkaan atau tekaan. Oleh itu, syarat ini adalah perlu kerana kepercayaan yang benar mestilah ada justifikasi.

Antara syarat di atas, “kebenaran” merupakan syarat paling utama dalam menilai sesuatu sebagai ilmu. Apakah itu kebenaran dan bilakah sesuatu perkara dianggap benar?



TEORI KEBENARAN

Terdapat pelbagai jawapan dan teori yang dikemukakan, namun tiga teori di bawah dianggap sebagai yang terpenting. 1. Teori Koheren – Sesuatu pernyataan dianggap benar jika ia sepadan dengan apa yang wujud di alam nyata. Misalnya, pernyataan “Kota Bharu adalah ibu negeri Kelantan” adalah benar, sebaliknya pernyataan “Bachok adalah ibu negeri Kelantan” adalah tidak benar kerana menyalahi apa yang wujud di alam nyata. 2. Teori Koresponden – Sesuatu pernyataan dianggap benar apabila ia selari atau konsisten dengan pernyataan-pernyataan lain. Misalnya, “hukum bunuh ke atas pengedar dadah adalah wajar” dianggap benar kerana ia serasi dengan “jenayah berat patut menerima hukuman keras”, dan “hukum bunuh lebih menakutkan penjenayah berbanding hukuman penjara”. 3. Teori Pragmatik – Sesuatu pernyataan dianggap benar apabila ia memberi manfaat dan boleh dipraktikkan. Ini kerana menurut aliran pragmatisme, ilmu yang tidak membawa kepada praktis atau tidak boleh dipraktikkan adalah bukan ilmu, bahkan ia hanyalah ilusi.



SUMBER ILMU

Persoalan kedua yang cuba dijawab oleh epistemologi ialah mengenai sumber ilmu. Terdapat pelbagai sumber bagi manusia untuk mencapai ilmu dan setiap sumber ini berfungsi dalam konteks yang berbeza serta saling melengkapi antara satu sama lain. Secara asasnya, manusia mendapat ilmu sama ada melalui pancaindera yang sihat, akal yang waras, atau berita yang

benar. Masyarakat yang menerima ketiga-tiga sumber ilmu ini sebagai sumber utama ilmu menurut Ibn Taymiyyah (1991) mampu mencapai ilmu yang lebih sempurna berbanding mereka yang hanya mengiktiraf sebahagian sahaja. Namun, sebahagian aliran falsafah hanya mengiktiraf sumber tertentu sahaja dan membelakangkan yang lain menyebabkan berlaku perbezaan dalam aliran pemikiran. Terdapat juga sumber ilmu lain yang dibahaskan oleh ahli falsafah seperti intuisi dan ilham. Kesemua sumber ilmu ini akan dibincangkan secara ringkas sebagaimana di bawah.

Pancaindera yang Sihat

Pancaindera adalah wasilah yang menghubungkan manusia dengan alam. Melaluinya maklumat daripada alam sekeliling dicerap dan dipindahkan kepada akal yang berfungsi menilai kesahihan maklumat tersebut. Proses pencerapan maklumat oleh pancaindera hanya akan menghasilkan ilmu yang diyakini benar apabila menepati dua syarat (Al-Karsawi, 2018): 1.Pancaindera yang digunakan sihat dan tidak cacat. 2.Maklumat yang dicerap bebas daripada faktor yang mencacatkan cerapan, misalnya pembiasan cahaya menyebabkan pen di dalam air kelihatan bengkok.

Akal yang Waras

Walaupun pancaindera ialah asas utama untuk mendapatkan ilmu, akal juga mempunyai peranan tersendiri sebagai sumber ilmu. Tidak semua ilmu boleh diperolehi melalui pancaindera. Akal mempunyai keistimewaan yang tidak ada pada pancaindera seperti melakukan generalisasi, qiyas (deduksi), analisis, serta berfikir secara abstrak (Ibn Taymiyyah, 1991). Jika ilmu yang diperolehi melalui pancaindera hanya terhad kepada alam nyata sahaja, akal sebaliknya mampu memberikan ilmu mengenai perkara-perkara di luar alam pancaindera. Akal mampu menghasilkan hukum yang diyakini benar misalnya, “dua perkara yang berlawanan tidak akan bersatu”, “setiap yang

bergerak perlu kepada penggerak”, atau “keseluruhan sesuatu lebih besar daripada sebahagian juzuknya”, dan seumpamanya.

Hukum Akal dan Hukum Adat

Hukum akal ialah hukum ke atas sesuatu berdasarkan akal, dan hukum adat pula ialah hukum berasaskan pengalaman pancaindera. Banyak kesalahan dalam masalah kepercayaan khususnya berkaitan perkara keagamaan berpunca daripada kesilapan dalam membezakan dan meletakkan keduadua hukum ini pada tempat yang salah. Kesalahan yang berlaku misalnya, suatu perkara hanya tidak benar berdasarkan hukum adat, tetapi dihukum sebagai tidak benar berdasarkan akal, sedangkan dari segi akal ia mungkin benar. Hukuman yang salah ini menyebabkan perkara tersebut ditolak tanpa dinilai kebenarannya secara adil dan tepat (Ashraf, 1992). Sebagai contoh, pernyataan ‘manusia mampu mendarat di bulan, berdasarkan hukum adat pada masa dahulu ia adalah mustahil, tetapi tidak lagi pada zaman ini. Tetapi bagi akal yang waras, perkara ini tidak mustahil kerana akal tiada masalah untuk membayangkan perkara tersebut. Dalam masalah kepercayaan agama misalnya kewujudan Tuhan, dari segi hukum adat, kepercayaan ini mungkin dinilai sebagai tidak benar kerana ia tidak dapat dibuktikan melalui pengalaman pancaindera, tetapi dari segi akal ia tidak mustahil, malah akal yang waras menghukum bahawa kewujudan Tuhan Yang Maha Berkuasa adalah wajib, diyakini dan tidak dapat ditolak. Asasnya ialah, tidak semua perkara yang dianggap mustahil berdasarkan hukum adat adalah mustahil menurut hukum akal. Hukum adat mungkin berubah-ubah mengikut perkembangan pengalaman manusia, namun hukum akal adalah tetap dan konsisten.

Perkhabaran atau Berita yang Benar

Sebahagian ilmu tidak diperolehi secara terus melalui pancaindera ataupun akal, tetapi ia disampaikan kepada kita oleh orang lain. Kita tahu bahawa Plato hidup pada zaman Greek walaupun kita tidak hidup pada zamannya.

Kita juga percaya bahawa piramid wujud di Mesir walaupun tidak pernah ke sana. Kebenaran sumber perkhabaran adalah selepas pancaindera dan akal malah bergantung kepada kedua-dua sumber sebelumnya.

Perkhabaran boleh dikelaskan kepada dua iaitu: 1. Perkhabaran yang sampai melalui bilangan manusia yang ramai (mutawatir), yang mana dari segi akal adalah mustahil bilangan yang ramai ini bersepakat untuk menipu. Perkhabaran yang diterima melalui bentuk ini memberikan ilmu yang benar secara yakin dan tidak dapat ditolak. 2. Perkhabaran yang sampai melalui seorang atau jumlah individu yang sedikit. Perkhabaran dalam bentuk ini adalah benar apabila diiringi petanda yang menunjukkan kebenarannya. Misalnya, pembawa berita adalah seorang yang benar, atau terdapat bukti-bukti yang menyokong kebenaran berita yang dibawa.

Tradisi Islam dan Kebenaran Wahyu

Wahyu adalah salah satu sumber ilmu yang boleh diletakkan di bawah kategori berita yang benar. Dalam tradisi Islam, wahyu merupakan sumber ilmu yang paling utama kerana ia merupakan sebahagian daripada ilmu Tuhan Yang Maha Mengetahui. Wahyu ialah risalah daripada Allah SWT kepada manusia melalui perantaraan rasul yang mengandungi panduan hidup. Ilmu yang didatangkan oleh wahyu seperti perkara-perkara ghaib, misalnya masalah pembalasan syurga dan neraka, atau mengenai peraturan hidup misalnya hukum berjual-beli, adalah diyakini benar secara mutlak dan wajib dipercayai serta dipatuhi. Kebenaran utama wahyu terletak pada bagaimana ia disampaikan iaitu melalui berita yang benar. Wahyu disampaikan oleh rasul yang diiringi pelbagai mukjizat sebagai bukti kebenaran berita yang dibawa. Kemudian kandungan wahyu khususnya al-Quran disampaikan pula daripada satu generasi kepada satu generasi sehinggalah waktu sekarang tanpa wujud tokok tambah atau pengurangan walaupun satu huruf, melalui bentuk

mutawatir yang dihukum benar oleh akal.

Ilham dan Intuisi

Di samping sumber-sumber di atas, ada beberapa sumber ilmu yang sering menjadi perbahasan dalam epistemologi iaitu intuisi dan ilham yang dikenali dengan pelbagai istilah seperti wijdan, basirah, laduni dan lainlain. Pada asasnya, ilham juga boleh dianggap sebagai sumber ilmu dengan beberapa syarat yang ketat seperti berikut (Al-Karsawi, 2018): 1.Ilmu yang didapati melalui ilham tidak menyalahi pancaindera, akal, dan juga wahyu. Jika ia bertentangan dengan salah satu sumber ini, maka ilmu yang didapati ditolak dan dihukum sebagai tidak benar. 2.Ilham hanya terpakai bagi membantu dalam membuat pertimbangan antara dua perkara yang dikategorikan sebagai harus, atau perkaraperkara yang tidak jelas (syubhah). 3.Orang yang mendapat ilham hanya berhak beramal dengan ilham tersebut untuk dirinya sahaja dan tidak menyebarkan atau mewajibkannya ke atas orang lain.



ALIRAN FALSAFAH BERKAITAN SUMBER ILMU

Terdapat pelbagai aliran dalam epistemologi yang melibatkan perbezaan cara melihat dan menilai sesuatu sumber ilmu. Namun, dalam kesempatan ini hanya dua aliran utama yang akan dibincangkan sebagaimana berikut:

Aliran Empirisisme

Empirisisme merupakan aliran falsafah yang berpendirian bahawa sumber bagi semua ilmu manusia adalah pengalaman pancaindera. Tanpa pancaindera manusia tiada ilmu dan akal tidak dapat berfungsi. Selaras dengan pegangan ini, kebenaran atau kepalsuannya sesuatu idea atau pernyataan mestilah dibuktikan berasaskan pengalaman pancaindera (Al-

Karsawi, 2018). Kesannya, perkara ghaib misalnya kewujudan Tuhan tidak dianggap sebagai ilmu kerana tidak dapat dibuktikan secara empirikal.

Aliran Rasionalisme

Berbeza dengan aliran di atas, golongan ini berpendirian bahawa akal adalah satu-satunya sumber ilmu yang diyakini kebenarannya, bukan pancaindera. Mereka menolak dakwaan aliran empirisisme bahawa sumber ilmu ialah pancaindera kerana pancaindera sering sahaja tersilap dan memberi maklumat palsu. Berapa kali kita ditipu oleh pancaindera dengan menyangka bahawa bahagian pen yang terendam di dalam air menjadi bengkok? Rasionalisme tidak menolak maklumat yang dibawa oleh pancaindera, cuma maklumat tersebut tidak diyakini kebenarannya, justeru bagi mereka, sumber ilmu yang sebenar ialah akal (Zaki, 2018).



KEMAMPUAN MANUSIA UNTUK MENGETAHUI

Apakah had ilmu yang mampu dicapai oleh manusia? Ini merupakan persoalan terakhir yang cuba dijawab oleh epistemologi. Pada asasnya, manusia mampu mencapai pelbagai ilmu, dan pernyataan ini dapat diterima begitu sahaja tanpa memerlukan perbahasan panjang. Namun begitu, ahli falsafah dalam menjawab persoalan ini, terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu: Aliran Dogmatisme dan Aliran Skeptisisme.

Aliran Dogmatisme

Kumpulan ini yang secara umumnya merupakan ahli-ahli falsafah daripada aliran rasionalisme dan empirisisme berpendirian bahawa manusia dengan sumber yang ada padanya mampu mencapai ilmu (Zaki, 2018). Dengan akal, manusia mampu meneroka ilmu-ilmu baru, begitu juga dengan pancaindera. Jika sesuatu ilmu tidak dapat dicapai, itu adalah disebabkan kelemahan sama ada pada sifat manusia atau pada sifat benda. Apabila

kelemahan ini dapat diatasi, ilmu akan dapat diperolehi melalui sumber yang diiktiraf oleh setiap aliran.



Aliran Skeptisisme

Bertentangan dengan aliran di atas, aliran ini berpendirian bahawa ilmu dengan maksud kebenaran hakiki dan mutlak adalah tidak wujud. Apa yang diketahui oleh seorang manusia tidak lebih daripada pandangan peribadi dan berkait dengan dirinya (Zaki, 2018). Dalam erti kata lain, ilmu adalah bersifat nisbi atau relatif yang bermakna, benar atau palsu sesuatu pengetahuan adalah berdasarkan orang yang mengetahuinya. Kenisbian ilmu pengetahuan ini tampak jelas khususnya dalam masalah etika dan moral. Apa yang baik adalah baik bagi individu yang menganggapnya baik, dan perkara baik ini tidak semestinya baik pada orang lain, sebaliknya ia mungkin tidak baik baginya.



EPISTEMOLOGI SEBAGAI PEMANGKIN PENJANAAN ILMU BAHARU

Epistemologi boleh membantu seseorang memahami cara dan arah manusia berfikir. Epistemologi juga membantu seseorang ‘melihat’ apa yang mungkin dan apa yang tidak mungkin menurut bidang-bidangnya. Ia juga membimbing seseorang untuk menyemak apa yang mungkin diketahui dan harus diketahui atau apa yang mungkin diketahui dan penting untuk diketahui atau apa yang sama sekali tidak mungkin diketahui. Tidak semua objek mesti dijelajahi oleh pengetahuan manusia. Ada objek tertentu yang manfaatnya kecil dan mudaratnya lebih besar, sehingga tidak perlu diketahui, meskipun mungkin untuk diketahui. Ada juga objek yang benarbenar misteri sehingga tidak mungkin diketahui. Kesemua pola pemikiran tersebut berkait dengan bidang epistemologi dan memberi implikasi terhadap corak sikap dan tingkah laku seseorang.

Dalam skala yang lebih besar, epistemologi secara global mempengaruhi peradaban manusia. Suatu peradaban dibentuk oleh teori pengetahuannya. Epistemologi mengatur semua aspek pengajian manusia, daripada bidang falsafah sehingga ke ilmu sosial. Epistemologi daripada masyarakatlah yang memberikan kesatuan dan kesinambungan pada ilmuilmu tersebut yang merupakan hasil pengamatan kritis, keyakinan, kepercayaan dan sistem nilai mereka. Menurut Mujamil Qomar (2002), epistemologi menentukan kemajuan sains dan teknologi. Wujud sains dan teknologi yang maju di sesuatu negara kerana didukung oleh penguasaan bahkan pengembangan epistemologi. Tidak ada bangsa yang pandai merekayasa fenomena alam sehingga mencapai kemajuan sains dan teknologi tanpa disokong oleh kemajuan epistemologi. Epistemologi menjadi modal dasar dan alat yang strategik dalam merekayasa pengembangan alam menjadi sebuah produk sains yang bermanfaat bagi kehidupan manusia. Demikian halnya yang terjadi pada teknologi. Epistemologi sentiasa mendorong manusia untuk selalu berfikir dan menciptakan sesuatu yang baru.



PENUTUP

Kefahaman serta pendirian epistemologi yang tepat merupakan asas penting bagi seorang manusia dalam meneroka dan mengembangkan ilmu-ilmu baharu. Ini kerana apabila aliran tertentu diikut tanpa sedar dan faham kesilapan dan kelemahan yang wujud, secara tidak langsung ia akan menyebabkan kepincangan ke atas kerangka pemikiran dan pandangan alam yang dianuti.



LATIHAN 1. Adakah apabila seseorang percaya dan mempunyai justifikasi sudah cukup untuk menjadikan sesuatu kepercayaan itu benar? Adakah mungkin sesuatu kepercayaan mempunyai justifikasi tetapi pada

hakikatnya ia adalah kepercayaan palsu atau sesat? Jelaskan. 2. Jelaskan pendirian aliran empirisisme mengenai sumber pancaindera dan apakah kesannya terhadap ilmu? 3. Jelaskan kesalahan yang mungkin berlaku dalam menghukum sesuatu kepercayaan sebagai benar atau palsu? 4. B ialah seorang yang kamu tahu tidak pernah menipu memberitahu kamu bahawa A telah meningggal dunia. Kamu juga tahu bahawa A telah lama sakit dan kamu dapati di hadapan rumahnya orang ramai berkumpul dan ada van jenazah. Bagaimanakah kamu menghukum kebenaran maklumat ini? Jelaskan.



RUJUKAN

Abdul Rahman Haji Abdullah (2005). Wacana Falsafah Ilmu: Analisis Konsep-konsep Asas & Falsafah Pendidikan Negara. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distribution Sdn. Bhd. Ahmad al-Karsawi (2018). Madkhal ila Nazariyyat al-Ma’rifah. t.tp: Markaz Takwin li al-Abhath. Ahmad Sunawari Long (2006). Sejarah Falsafah. Bangi: Penerbit UKM. Al-Jabiri, Muhammad Abid (2002). Madkhal Ila Falsafat al-‘Ulum. Beirut: Markaz Dirasat al-Wahdah al-‘Arabiyyah. Ashraf Ali Thanwi (1992). Answer to Modernism. Translation: Muhammad Hasan Askari & Karrar Husain. Karachi: Maktaba Darul-Uloom. Hashim bin Haji Musa (2001). Falsafah, Logik, Teori Nilai dan Etika Melayu: Suatu Pengenalan. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu. Hospers, John (1997). An Introduction to Philosophical Analysis. London: Routledge. Ibn Taymiyyah, Ahmad bin Abd al-Halim (1991). Dar’ Ta’arud al-‘Aql wa al-Naql. Al-Mamlakah al-Arabiyyah al Saudiyyah: Jami’ah al-Imam Muhammad bin Saud al-Islamiyyah. Muhammad Muhammad Qasim (2001). Madkhal Ila al-Falsafah. Beirut:

Dar al-Nahdah al-‘Arabiyyah. Mujamil Qomar (2002). Epistemologi pendidikan Islam. Jakarta: Erlangga Zaki Najib Mahmud (2018). Nazariyyat al-Ma’rifah. UK: Hindawi Foundation C.I.C

BAB 8

IDEOLOGI RELATIVISME PASCAMODEN

Marwan Ismail



HASIL PEMBELAJARAN • Menjelaskan cabaran ideologi relativisme pasca moden sebagai reaksi kegagalan modeniti. • Menjelaskan perkembangan fenomena dan manifestasi relativisme pascamoden. • Menghuraikan implikasi relativisme pascamoden dalam menafikan kebenaran dan hakikat dalam kehidupan. • Menganalisis jawapan agama dan tradisi terhadap cabaran relativisme pascamoden dalam kehidupan semasa.



PENDAHULUAN

Bab ini akan dimulai dengan menelusuri sejarah perkembangan konsep modenisme dan pascamodenisme yang melahirkan ideologi pemikiran relativisme pascamoden. Aliran pemikiran ini telah memberi kesan yang besar kepada sistem kehidupan dan peradaban manusia sejagat. Bab ini juga akan menyentuh beberapa ciri pemikiran relativisme pascamoden dan bagaimana ia tersebar pada era globalisasi. Fokus turut diberikan kepada implikasi dan cabaran pemikiran relativisme dalam kehidupan serta solusi yang ditawarkan oleh agama dan tradisi keilmuan untuk menanganinya secara tuntas.



SEJARAH PERKEMBANGAN IDEOLOGI MODEN DAN PASCAMODEN



Sejarah perkembangan ideologi moden dan pascamoden merupakan lanjutan daripada pertentangan di antara golongan cendekiawan dengan golongan teologi Kristian pada era Renaissance. Gerakan ini melahirkan falsafah moden berasaskan faham humanisme (fahaman manusia boleh berdiri sendiri dan tidak lagi memerlukan Tuhan dalam kehidupan). Setelah itu berlakulah revolusi sains dalam abad ke 17 M dan bermulalah proses sekularisasi yang mengakibatkan pemisahan secara total dalam lapangan ilmu pengetahuan dan agama. Tokoh utamanya adalah Francis Bacon (1561-1626) yang mengutarakan sains untuk menggantikan agama bagi membawa kesejahteraan kepada kehidupan manusia. Pemantapan falsafah moden ini diteruskan lagi oleh Rene Descartes (1596-1650) yang menyatakan kebenaran hanya boleh dicapai melalui sumber akal yang rasional dan pengalaman manusia (Abdul Rahman, 2016). Di sepanjang sejarah tersebut, lahir pelbagai teori dan aliran dalam memahami makna kebenaran dan ilmu. Kepelbagaian aliran tersebut sama ada dalam bidang ilmu sains tabii, kemanusiaan dan sains sosial berkait secara langsung dengan falsafah pemikiran moden dan pascamoden.



IDEOLOGI MODEN

Secara etimologi, konsep modeniti berasal daripada perkataan Latin modo yang bermaksud terkini atau sekarang. Moden juga memberikan kefahaman bahawa ia bukan bersifat tradisional. Fahaman ini kemudian berkembang dalam beberapa bentuk yang selari dengan konsep tersebut seperti modeniti (fizikal), modenisme (pemikiran) dan juga modenisasi sebagai suatu proses (Nasruddin Yunus, 2007). Tunjang utama kepada ketiga-tiga konsep tersebut ialah logik, rasional dan objektiviti yang berasaskan kepada data empirikal melalui percerapan pancaindera dan pengalaman manusia. Tokoh falsafah Eropah era pencerahan (enlightement) pada abad ke-18 seperti John Locke (1632-1704), David Hume (1711-1776) dan juga

Immanuel Kant (1724-1804) begitu mengagungkan pencapaian sains dan kaedah saintifik. Mereka percaya bahawa manusia boleh mencapai kemajuan dengan hanya menggunakan akal dan meninggalkan nilai yang berasaskan kepada dogma keagamaan. Era ini juga ditakrifkan sebagai permulaan abad moden yang berterusan sehingga abad ke-20. Pada zaman tersebut, lahir pula ahli falsafah Barat seperti Betrand Russel (1872-1970) dan Karl Popper (1902-1994) yang meneruskan aliran modenisme dan positivisme bukan sahaja dalam konteks sains tabii malah melangkaui dalam bidang ilmu sains sosial dan kemanusiaan. Aliran inilah yang banyak mewarnai dan membentuk makna kemajuan dan kesejahteraan hidup tamadun Barat pada masa ini.



IDEOLOGI PASCAMODEN

Kini fahaman modenisme mula mendapat tentangan daripada golongan ahli falsafah pascamoden yang mempertikai konsep kebenaran mutlak berasaskan logocentrisme (berpusatkan akal), kaedah saintifik dan objektiviti. Mereka berpandangan bahawa pemikiran moden yang menggerakkan modenisasi dan revolusi perindustrian telah menghilangkan hubungan antara manusia, merendahkan martabatnya dan nilai tradisi kemanusiaan. Menurut Sharifah A’tikah & Syed Ibrahim Ismail (2004), golongan pascamoden ini mengambil sikap bertentangan dengan sebahagian besar teori pemikiran moden seperti idea yang dipelopori dalam “grand theory” oleh Karl Marx (1818-1883), Max Weber (1864-1920) dan Emile Durkheim (1858-1917). Pengistilahan pascamoden dalam bidang falsafah mula diperkenalkan oleh Jean Francois Leotard (1924-1998) pada dekad 1970-an. Pemikiran pascamoden ini merupakan suatu pergerakan idea yang ingin menggantikan aliran pemikiran moden. Pemikiran pascamoden menyemak semula malah cuba memperbaharui kembali paradigma pemikiran moden. Aliran ini berusaha untuk mengkritik idea moden yang dilihat gagal untuk memartabatkan nilai kemanusiaan.

Meskipun pemikiran moden telah memberikan kemajuan yang mengagumkan kepada peradaban manusia, pada masa yang sama ia juga menghasilkan penindasan dan kezaliman kepada martabat kemanusiaan. Menurut Anthony Giddens (1938-kini) era moden telah menyebabkan malapetaka besar kepada kehidupan manusia. Antara kegagalan pemikiran moden ialah penggunaan kekerasan sebagai suatu kaedah dalam penyelesaian sesuatu konflik. Ini menjadikan pihak yang lebih kuat akan mendominasi pihak yang lemah melalui pelbagai cara dan bentuk penindasan. Pemikiran moden juga gagal menyelesaikan pelbagai permasalahan sosial dan kemanusiaan. Semuanya ini menunjukkan bahawa wujudnya kepincangan yang serius dalam falsafah moden (Johan & Ajat, 2018). Aliran pascamoden menentang semua bentuk keyakinan asas berasaskan kebenaran mutlak ajaran agama sama ada berasaskan wahyu mahupun akal rasional. Ideologi pascamoden menafikan autonomi individu untuk mendakwa apa yang telah dibuktikan benar sebagai satu kebenaran. Bagi mereka tidak wujud konsep kebenaran yang bersifat universal seperti kebenaran yang dibuktikan oleh akal. Kebenaran adalah relatif, dan tiada sesiapa pun berhak mendakwa apa yang dipegangnya sebagai benar kerana tidak wujud rujukan objektif untuk pembuktian benar atau palsu (Ahmad Sunawarie, 2006). Aliran pemikiran ini telah menyerap masuk dan mencabar prinsip asas yang dipegang manusia moden bahkan keseluruhan sistem kehidupan manusia. Gerakan ini cuba menggantikan sistem pemikiran moden termasuk ajaran agama sama ada dari aspek teori mahupun praktis. Penyebaran idea pascamodenisme ini bergerak pantas melalui pelbagai bentuk dan media melalui proses globalisasi dan revolusi indusri 4.0 yang menjadikan dunia semakin kecil.



CIRI PEMIKIRAN PASCAMODEN

Untuk menjelaskan lagi sifat dan tabiat aliran pemikira pascamoden,

Aminuddin Miskam (2004) telah menyenaraikan sejumlah ciri-ciri utamanya sebagaimana berikut: 1. Dekonstruktif - mencabar teori moden mahupun ajaran agama yang telah mampan 2. Relativisme - kebenaran bersifat relatif dan berasaskan kepada nilai, konteks dan budaya sesuatu masyarakat 3. Pluralisme- kepelbagaian perlu diraikan dan ditoleransikan 4. Tiadanya kebenaran mutlak 5. Ketiadaan makna dalam kehidupan 6. Kesaksamaan perwakilan - tiada dominasi ke atas pihak yang lain 7. Pemikiran tidak ditunjangi dogma agama, adat dan prinsip moral 8. Campuran pelbagai nilai, budaya dan keyakinan 9. Media massa baharu sebagai penentu kebenaran dan kesalahan perilaku manusia 10. Budaya konsumerisme

Walau bagaimanapun, bagi Zakaria Stapa (2014), kesemua ciri di atas boleh difahami secara analitikal berasaskan kepada tiga komponen utama yang saling berkaitan iaitu; 1. Sejarah; ia merujuk kepada era baharu yang lahir dari zaman moden. 2. Budaya; satu produk budaya dan gaya hidup baharu. 3. Kaedah pemikiran dan penteorian; satu cara pemikiran dan penteorian baharu tentang kehidupan manusia hari ini dan akan datang yang mencabar teori dan pemikiran lama.



IMPLIKASI DAN CABARAN RELATIVISME PASCAMODEN

Penyerapan idea pascamodenisme telah memberi implikasi dan cabaran yang besar kepada kehidupan dan tamadun manusia. Ideologi ini memperjuangkan ketiadaan satu nilai kebenaran mutlak. Nilai kebenaran itu hanya berpaksikan kepada pentafsiran yang bercapah dalam konteks individu, persekitaran, budaya dan perubahan masyarakat.

Prinsip kebenaran sedemikian akan memberi masalah kepada pembinaan dan perkembangan tamadun manusia. Pemikiran yang berbentuk relatif dan tidak diikat dengan satu sistem pemikiran yang kukuh (berlandaskan wahyu dan akal rasional) akan memberi kesan negatif terhadap epistemologi dan aksiologi yang berperanan memandu manusia untuk berfikir dan bertindak. Ini semua akan membawa kepada satu suasana kehidupan yang huru hara. Pendekatan pascamodenisme juga tidak mempunyai tunjang yang jelas dan tidak selari dengan fungsi akal dan wahyu. Secara lebih ringkas, berikut adalah implikasi dan cabaran pascamoden relativisme;

1. Kepercayaan dan amalan beragama Liberalisme dalam akidah dan agama yang menjadikan semua agama adalah benar dan sama. 2. Krisis nilai dan etika dalam kehidupan Pembentukan nilai etika berasaskan kepada pemikiran hedonisme. 3. Kemunculan gerakan hak asasi dalam memperjuangkan kelompok minoriti dan devian Memperjuangkan hak asasi yang melibatkan isu gender seperti LGBT dan gerakan feminisme. 4. Kerapuhan sistem kekeluargaan Mempelopori kehidupan tanpa nikah yang sudah tentu memberikan implikasi dalam konteks tanggungjawab dan hak dalam institusi kekeluargaan. 5. Sistem ekonomi konsumerisme Mementingkan keuntungan dengan menggunakan imej dan simbol serta prestij. 6. Perubahan struktur sosial dan masyarakat Kehidupan masyarakat yang lebih bercorak individualistik. 7. Penghasilan produk hiburan yang tidak mementingkan makna dan tujuan Ini boleh diperhatikan sama ada dalam bentuk lirik, muzik mahupun filem fiksyen dan imaginasi.



AGAMA DAN TRADISI KEILMUAN SEBAGAI JALAN PENYELESAIAN

Jalan penyelesaian tuntas bagi mendepani cabaran relativisme pascamoden ialah mengembalikan semula manusia kepada institusi agama dan tradisi keilmuan yang kukuh. Mengimbas semula perbincangan dalam bab 5 dan 6, penerangan yang jelas telah dikemukakan mengenai konsep insan, asal usul dan unsur kejadian manusia, serta falsafah dan tujuan kehidupan manusia. Kegagalan asas tamadun Barat sama ada dalam konteks aliran pemikiran moden mahupun pascamoden ialah kecelaruan binaan epistemologi, ontologi dan aksiologi dalam memahami makna kebenaran dan kebahagian hidup. Mereka keliru dalam memahami tujuan kejadian manusia dan gagal membangun unsur dan potensi kejadiannya secara harmoni, seimbang dan bersepadu. Mereka tolak peranan agama dalam menentukan tujuan kehidupan. Sebagai contoh, mereka tidak mengakui bahawa tujuan kejadian manusia adalah sebagai khalifah Allah SWT berasaskan konsep perhambaan dalam mencapai kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. Golongan pascamoden juga menolak konsep kejadian manusia berasaskan unsur rendah iaitu tanah (fizik) dan unsur tinggi iaitu roh (spiritual, kalbu, nurani). Dengan kefahaman tersebut, aliran pemikiran moden dan pascamoden telah jauh menyimpang dalam mencapai kesejahteraan dalam pembinaan tamadun manusia. Justeru, asas pembinaan falsafah moden yang berteraskan kebenaran akal dan faham positivisme hanya berupaya menyelesaikan masalah fizikal; bukannya unsur spiritual secara seimbang dan sepadu. Demikian juga ideologi pascamoden yang berpegang kepada relativisme dan menolak ajaran agama telah pun mencetuskan kekacauan dan tak mungkin mampu memberi penyelesaian kepada manusia sejagat. Menurut Uthman el Muhammady (2004), Islam dengan tradisi keilmuannya yang kukuh menawarkan beberapa langkah penyelesaian bagi mendepani cabaran idea pascamodenisme sebagaimana berikut:

1. Manusia memerlukan kerangka berfikir yang berasaskan epistemologi, ontologi dan aksiologi Islam, sama ada dalam aspek keilmuan dan juga amalan. Kebenaran seharusnya berpandukan sumber wahyu, akal rasional, kalbu, dan pancaindera yang sihat sebagai mekanisme penyelesaian isu peradaban dan tamadun manusia. 2. Kesilapan dan kepalsuan serta kekeliruan aliran pemikiran pascamodenisme perlu didedahkan berasaskan kepada pandang alam Islam. 3. Dalam konteks Malaysia, pembinaan identiti negara bangsa perlu kekal berteraskan budaya Melayu dan Islam serta budaya lain. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris sebagai bahasa teknologi dan hubungan antarabangsa. Penggunaan teknologi barat seperti teknologi maklumat dan komunikasi perlu dimanfaatkan secara bijaksana. 4. Keutuhan identiti ini perlu mengakar bermula daripada pihak kepimpinan tertinggi sehingga ke akar umbi dan melibatkan setiap sistem sosial, ekonomi dan politik.



PENUTUP

Sebagai penutup, aliran pemikiran relativisme pascamoden berakar umbi daripada penentangan golongan intelektual Barat terhadap kekuasaan gereja dan kelangsungan fahaman sekular moden. Ironinya, aliran pemikiran ini bertentangan pula dengan aliran pemikiran moden dari aspek epistemologi dan aksiologi. Dalam senario globalisasi dan rempuhan revolusi industri 4.0, aliran pemikiran pascamoden telah menjadi satu ancaman kepada kesejahteraan peradaban manusia. Hanya tradisi keilmuan yang benar mampu menangani cabaran fahaman tersebut.



LATIHAN

1. Jelaskan mengenai sejarah kemunculan aliran pemikiran pascamoden di Barat? 2. Apakah asas aliran pemikiran moden yang menjadi perdebatan golongan pascamoden? 3. Huraikan mengenai ciri pemikiran relativisme pascamoden, implikasinya dan cabaran kepada kesejahteraan peradaban dan ketamadunan manusia. 4. Berikan analisis anda mengenai kelemahan pemikiran pascamoden mengenai asas kebenaran yang relatif. Bagaimanakah Islam manyelesaikan dari aspek epistemologi dan tradisi keilmuannya?



RUJUKAN

Abdul Rahman Abdullah (2016). Wacana Falsafah Barat: Tinjauan dan Kritikan. Kuala Lumpur : Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Ahmad Sunawari Long (2006). Sejarah Falsafah. Bangi: Penerbit UKM. Aminuddin Ruskam al-Dawami (2004). Gagasan Naratif dalam Pasca Moden: Cabaran terhadap Orientasi Pendidikan Islam. Kertas Kerja Seminar Antarabangsa Nilai dalam Komuniti Pasca Modenisme (SIVIC2004) 4-6 September 2004. Hotel City Bayview, Langkawi. Johan Setiawan dan Ajat Sudrajat (2018). Pemikiran Post Modernisme dan Pandangannya Terhadap Ilmu Pengetahuan. Jurnal Filsafat. Vol. 28. No. 1 p.25-26. Muhammad ‘Uthman el-Muhammady (2004). Pasca Modenisme dan Islam: Satu Pandangan Awal. Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan. Nasrudin Yunos & Siti Nor Baya (2007). Modeniti dan hubungannya dengan Kemajuan. Jurnal Pengajian Umum. Bil 8. p.95 Sharifah Sofiah Atikah & Syed Ibrahim Ismail (2004). Teori Pasca Moden dan Krisis Sosial : Penjelasan Teori ke atas Fenomena Sosial. Kertas Kerja Seminar Antarabangsa Nilai dalam Komuniti Pasca Modenisme (SIVIC2004) 4-6 September 2004. Hotel City Bayview, Langkawi. Zakaria Stapa (2014). Revitalisasi Proses Peneguhan Akidah dalam

Menghadapi Cabaran Pasca Modenisme. Ar-Raniry : International Journal Islamic Studies, Vol 1. No 1.p 1-39.

BAB 9

DEKOLONISASI

Burhan Che Daud



HASIL PEMBELAJARAN • Menjelaskan definisi, konsep dan sejarah kemunculan serta perkembangan dekolonisasi. • Menghuraikan faktor-faktor utama yang menyebabkan kemunculan dan perkembangan dekolonisasi. • Menjelaskan impak dekolonisasi dalam pelbagai bidang kehidupan manusia termasuk politik, ekonomi, sosial dan pendidikan. • Menghubungkaitkan dekolonisasi dengan bidang pengajian para pelajar khasnya bidang pengkhususan masing-masing.



PENDAHULUAN

Bab yang lalu telah membicarakan mengenai hubung kait antara epistemologi dan isu-isu semasa. Perbincangan dalam bab ini pula akan menjelaskan tentang dekolonisasi merangkumi definisi dan konsep, sejarah dan faktor-faktor kemunculan dan perkembangan dekolonisasi, dan impak dekolonisasi dalam pelbagai bidang kehidupan manusia. Pada akhir bab ini, para pelajar dijangka mampu menganalisis hubung kait dekolonisasi dengan bidang pengajian pengkhususan pelajar.



DEFINISI ISTILAH

Dari sudut bahasa, istilah dekolonisasi amat berkait rapat dengan istilah koloni dan kolonisasi. Koloni bererti tanah jajahan manakala kolonisasi

bermaksud proses menjadikan sesuatu wilayah sebagai koloni (penjajahan). Dekolonisasi pula bererti proses membebaskan sesuatu wilayah daripada kuasa penjajah (penyahjajahan). Dari sudut istilah, kolonisasi bermaksud suatu proses atau keadaan iaitu sistem kuasa berpusat mendominasi tanah jajahan baharu yang berada di kawasan sekitarnya. Keadaan ini menyebabkan subjek dominasi tersebut tertakluk kepada kuasa penjajah dalam pelbagai aspek seperti fizikal, material, sosioekonomi, politik, pemikiran dan intelektual. Manakala istilah dekolonisasi adalah bersifat derivatif kepada istilah kolonisasi. Ia membawa maksud keadaan atau proses pembebasan daripada cengkaman kuasa penjajah dari sudut fizikal, material, politik, ekonomi, budaya, pemikiran dan intelektual. Terdapat beberapa definisi lain mengenai dekolonisasi yang dikemukakan dalam wacana ini. Antaranya:

1. Dekolonisasi bermaksud pengunduran kuasa penjajah dari tanah jajahan dan pemerolehan pembebasan dan kemerdekaan politik dan ekonomi oleh penduduk di tanah jajahan (Dane Kennedy, 2016). 2. Dekolonisasi merujuk kepada suatu proses iaitu kuasa penjajah menyerahkan dominasi institusi dan perundangan di tanah jajahan mereka kepada penduduk asal yang menjadi pemerintah negara bangsa secara rasmi (Prasenjit Duara, 2004). 3. Dekolonisasi yang dahulu difahami sebagai proses penyerahan instrumen kerajaan secara rasmi kepada penduduk asal, kini dimaksudkan sebagai suatu proses jangka panjang yang melibatkan pelupusan kuasa penjajah dalam aspek birokrasi, budaya, bahasa dan psikologi (Linda Tuhiwai Smith, 2008).

Beberapa orang sarjana pemikir Muslim seperti Albert Hourani (19151993), Syed Hussein Alatas (1928-2007), Ali Shariati (1933-1977) dan Edward Said (1935-2003) juga membahaskan istilah dekolonisasi dalam kerangka tradisi dan kemodenan yang dihubungkan dengan beberapa konsep lain seperti orientalisme, penjajahan intelektual (intellectual imperialism), intelektual tanpa rumah (homeless intellectual) dan minda tertawan (captive mind). Fokus utama wacana mereka adalah

mempromosikan dekolonisasi intelektual (intellectual decolonization) daripada segala pakej intelektual yang diimport daripada Barat. (Esmaeil Zeiny, 2018) Berdasarkan definisi istilah yang dinyatakan, dekolonisasi boleh dirumuskan sebagai suatu perubahan dalam kondisi masyarakat daripada berada di bawah taklukan kuasa penjajahan kepada pemerolehan kembali legitimasi ke atas tanah air, kemerdekaan ekonomi, politik dan sosiobudaya serta pembebasan pemikiran dan intelektual daripada impak kolonisasi.



SEJARAH KEMUNCULAN DAN PERKEMBANGAN DEKOLONISASI

Istilah dekolonisasi mula diperkenalkan pada awal kurun ke-19 oleh seorang wartawan Perancis yang menyuarakan penentangan beliau terhadap penjajahan Perancis ke atas Algeria. Kemudian, seorang saintis sosial berbangsa Yahudi dari Jerman, Moritz Julius Bonn (1873-1965) yang terselamat daripada kezaliman puak Nazi dan melarikan diri ke England, mempopularkan istilah ini sekitar tahun 1930-an. Kemudian penggunaan istilah ini hilang daripada kamus politik antarabangsa. Selepas Perang Dunia Kedua khasnya selepas tahun 1960, istilah ini digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa (Dane Kennedy, 2016). Menurut Dane Kennedy (2016), kemunculan dan perkembangan dekolonisasi boleh dibahagikan kepada tiga gelombang utama iaitu:

1. Dekolonisasi Dunia Baharu (New World Decolonization) Gelombang ini bermula di Amerika pada tahun 1776 dengan tercetusnya penentangan penduduk Amerika Utara terhadap penjajahan British. Kesannya terhasil dengan pembentukan negara Amerika Syarikat pada 4 Julai 1776 melalui Deklarasi Kemerdekaan oleh 13 koloni British. Ini diikuti dengan Pemberontakan Hamba pada tahun 1791 di Saint-Domingue, tanah jajahan Perancis yang menatijahkan pembentukan Haiti sebagai sebuah negara yang bebas dan merdeka

pada 1 Januari 1804. Gelombang ini juga menyaksikan siri-siri perjuangan kemerdekaan melalui peperangan melawan penjajah Sepanyol dan Portugal. Tanah jajahan Portugal paling besar di benua Amerika Selatan adalah Brazil (dikenali sebagai Empayar Brazil) yang mencapai kemerdekaan pada 7 September 1822. 2. Dekolonisasi Dunia Lama (Old World Decolonization) Gelombang kedua ini tercetus dengan berlakunya Perang Dunia Pertama pada 28 Julai 1914 sehingga ia berakhir pada 11 November 1918. Empayar pertama yang runtuh adalah Rusia pada tahun 1917. Kejatuhan Empayar Tsar ini membuka jalan kepada Revolusi Bolshevik yang akhirnya berjaya membentuk entiti baharu Union of Soviet Socialist Republics (USSR) pada 29 Disember 1922. Periode ini juga menyaksikan kejatuhan Empayar Turki Uthmaniah pada tahun 1922 yang menatijahkan wilayah takluknya diisytiharkan sebagai negara merdeka seperti Romania dan Bulgaria.

3. Dekolonisasi Dunia Ketiga (Third World Decolonization) Gelombang ketiga pula muncul pada pertengahan tahun 1940-an sejurus selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua. Gelombang ini terdiri daripada empat fasa utama. Fasa pertama ditandai dengan kemerdekaan tanah jajahan British seperti India, Pakistan, Sri Lanka dan Burma di Asia Selatan dan Filipina di Asia Tenggara. Manakala di Timur Tengah Palestin, Syria, Lubnan dan Jordan memperoleh kemerdekaan daripada penjajah British dan Perancis. Fasa Kedua pula bermula pada awal 1950-an dan berakhir pada 1960-an. Pada era tersebut, penjajahan kuasa Eropah telah berakhir secara total di Asia (kecuali Hong Kong), Afrika Utara dan sebahagian besar kepulauan Carribean. Fasa ketiga berlaku pada dekad 1970-an melalui kejatuhan kuasa kolonial Portugal di Afrika dan Timor Timur (Timor Leste). Fasa terakhir yang berlaku dalam gelombang ketiga ini adalah kejatuhan blok komunis Kesatuan Soviet pada tahun 1990 yang menyaksikan

munculnya Orde Baharu Dunia (New World Order) yang berbeza sama sekali dengan dekad-dekad kolonisasi dan imperialisasi sebelum ini. Setelah periode penjajahan berakhir secara fizikal dengan terbentuknya negara bangsa (nation state) baharu yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pemikiran dan kajian pascakolonial (postcolonial studies) mula muncul secara tersusun khasnya selepas berakhirnya Perang Dingin dan globalisasi ekonomi pada dekad 1990-an. Pemikiran dan kajian pascakolonial ini mengangkat idea bahawa dominasi epistemologi dan pemikiran Barat harus dicabar melalui wacana ilmiah hasil daripada pengalaman luas masyarakat tempatan semasa berada di era penjajahan. Usaha ini antaranya telah dikemukakan lebih awal oleh Mohandas Gandhi dan Rabindranath Tagore yang mengkritik tamadun Barat sebagai terlalu materialistik (excessively materialistic) dan Gandhi mengungkapkannya sebagai suatu bentuk ‘penyakit’ dalam karya beliau Hind Swaraj pada tahun 1909. Manakala seorang penulis dari Kenya, Ngugi wa Thiong’o menyeru masyarakat tempatan menolak budaya dan nilai barat melalui karya beliau Decolonising the Mind pada tahun 1981. Beliau berhujah bahawa pembebasan psikologi masyarakat tempatan bergantung sepenuhnya kepada penolakan mereka terhadap apa sahaja yang dianggap superior daripada Barat (Dane Kennedy, 2016).



FAKTOR-FAKTOR KEMUNCULAN DEKOLONISASI

Kemunculan dan perkembangan dekolonisasi selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1942 boleh dihubungkan dengan beberapa faktor utama seperti berikut:

1. Perang Dunia Kedua di peringkat global di antara empayar dan kuasa besar dunia menjadi pencetus utama dekolonisasi. Kuasa penjajah

Eropah yang tewas seperti British dan Perancis tidak lagi mempunyai kekayaan bagi membiayai aktiviti ekonomi dan politik di tanah jajahan mereka. 2. Amerika Syarikat dan Soviet Union yang merupakan kuasa besar baharu selepas Perang Dunia Kedua menentang idea kolonialisme Eropah. Ini membuka ruang yang luas kepada negara-negara di Dunia Ketiga khasnya untuk membangun dengan acuan sendiri. Sebagai contoh, di Afrika wujud kelompok kecil pemimpin yang mendapat pendidikan di Amerika Syarikat mula berperanan dalam masyarakat ke arah dekolonisasi Afrika secara tersusun. 3. Di peringkat lokal, mobilisasi gerakan pembebasan dan kemerdekaan yang muncul di wilayah jajahan kuasa besar tidak dapat dibendung lagi. Gerakan antikolonial dan haluan kiri mempercepatkan proses dekolonisasi daripada dominasi kuasa penjajah. Dekolonisasi fizikal berlaku dalam dua bentuk; perjuangan kekerasan dan perjuangan di meja rundingan.



DAMPAK DEKOLONISASI KEPADA KEHIDUPAN

Dekolonisasi bukan sahaja telah membawa perubahan besar dalam sejarah dunia dari sudut geopolitik dan ekonomi, malah dampak dekolonisasi dapat dilihat dalam segenap aspek kehidupan manusia pada zaman moden ini. Dampak dekolonisasi kepada kehidupan dapat dilihat dalam perspektif berikut:

1. Sistem politik dan ekonomi Sistem politik demokrasi muncul menggantikan sistem empayar dan monarki. Demokrasi datang dengan pakej kebebasan bersuara, kebebasan memilih, sistem pilihan raya, hak asasi manusia dan sebagainya. Manakala sistem ekonomi kapitalis dan perdagangan terbuka menjadi anutan kebanyakan negara membangun di Dunia

Ketiga bagi memacu perkembangan ekonomi di peringkat lokal dan global.

2. Sistem sosial Dekolonisasi berjaya merubah wajah masyarakat daripada berpusatkan Barat (eurocentric) kepada berpusatkan nilai masyarakat setempat (local value-based centric). Natijah dapat dilihat melalui perkembangan sosiobudaya masyarakat tempatan yang mempunyai kerangka tersendiri dan mengangkat tradisi serta norma tempatan yang jauh bertentangan dengan nilai serta budaya kolonisasi. Rakyat menjadi pihak berkepentingan utama (main stakeholder) dalam sistem sosial pascakolonial dan pembangunan sosial dijadikan agenda utama pembangunan negara.

3. Sistem pendidikan Bidang yang paling terkesan dengan kolonisasi adalah sistem pendidikan. Walaupun dekolonisasi telah berlaku hampir enam dekad yang lalu, namun sistem pendidikan di kebanyakan negara di dunia masih lagi berkiblatkan kerangka dan paradigma Barat. Pelbagai bentuk gerakan intelektual telah dan sedang diperjuangkan bagi mengembalikan sistem pendidikan ke landasan yang sebenar berpaksikan epistemologi bertuhan melalui pendekatan islamisasi ilmu dan integrasi ilmu. Kesedaran dalam kalangan masyarakat semakin meningkat kesan pakej sistem pendidikan acuan Barat yang bukan melahirkan insan bahkan menghasilkan manusia tanpa roh untuk tujuan aktiviti ekonomi kapitalis global. Cabaran dekolonisasi sistem pendidikan merupakan agenda jangka panjang yang perlu disusun secara kolektif, bersepadu dan terancang.



DEKOLONISASI PEMIKIRAN DAN INTELEKTUAL

Menyedari bahawa kolonisasi bukan sahaja mempengaruhi aspek fizikal, bahkan dengan pakej lengkap (pemikiran, budaya, nilai dan tatasusila tempatan), maka proses dekolonisasi juga seharusnya berlaku secara holistik dan komprehensif. Dalam konteks ini, golongan intelektual yang mempunyai pemikiran berasaskan pandangan alam yang sahih harus berperanan dengan aktif, responsif dan meluas dalam usaha dekolonisasi pemikiran dan intelektual masyarakat. Di antara pendekatan berkesan yang boleh dilaksanakan sebagaimana disarankan oleh Ali Shariati dan Syed Hussein Alatas adalah melalui penjajaran semula kaedah berfikir berdasarkan ilmu falsafah yang benar. Berdasarkan keperluan ini, para pelajar didedahkan kepada kursus Falsafah dan Isu Semasa bagi memberi gambaran menyeluruh dampak pemikiran falsafah Barat kepada pemikiran dan intelektual masyarakat Timur. Sebagai contoh, dalam bidang pengajian pengkhususan masing-masing, para pelajar kebiasaannya membuat kajian dan eksperimen berpaksikan teori dan konsep pemikiran ahli falsafah Barat seperti Roger Bacon dan Rene Descartes. Secara tidak sedar, para pelajar dipasak dengan nilai-nilai dan pemikiran saintifik Barat. Sekiranya pelajar tidak mempunyai kemahiran pemikiran falsafah seperti radikal, kritikal dan analitikal, maka nilai dan budaya tersebut dianggap normal dan boleh diterima. Dekolonisasi pemikiran dan intelektual hanya akan berlaku jika kemahiran berfikir secara falsafah dibentuk, dibina dan dipergiatkan dan diperjuangkan dalam kalangan komuniti akademik termasuk para pelajar dan ahli akademik khasnya di institusi pengajian tinggi.



PENUTUP

Bab ini menjelaskan kepada para pelajar tentang dekolonisasi dan impaknya terhadap kehidupan manusia khasnya dalam aspek kerangka pemikiran dan paradigma intelektual. Pemahaman bab ini amat penting dalam melahirkan pelajar yang mempunyai asas pemikiran falsafah yang tepat melalui analisis

pensejarahan yang kritikal. Asas pemikiran falsafah yang tepat dibantu dengan kaedah berfikir yang murni dan suluhan cahaya ketuhanan akan mampu membuka jendela intelektual yang kritis, analitikal dan responsif dalam mencari serta mempertahankan kebenaran.



LATIHAN 1. Apakah maksud kolonisasi dan dekolonisasi? 2. Bincangkan sejarah kemunculan dan perkembangan dekolonisasi. 3. Huraikan faktor-faktor utama yang mendorong kemunculan dekolonisasi. 4. Bincangkan tiga dampak dekolonisasi kepada kehidupan masyarakat. 5. Sejauh manakah dekolonisasi mempengaruhi perkembangan ilmu dalam bidang pengkhususan anda?



RUJUKAN

Al-Attas, S.M.N. (1993). Islam and Secularism. Kuala Lumpur: ISTAC. Dane Kennedy (2016). Decolonization: A Very Short Introduction. Oxford: Oxford University Press. Dietmar Rothermund (2006) The Routledge Companion to Decolonization. London: Routledge. Dzulkifli A.R., Decolonising the Paradigm of Sustainable Development Through The Traditional Concept of Sejahtera, dlm Zinaida F., Laima G. & Kiran C. (2018). Academia and Communities: Engaging for Change. Tokyo, Japan: UNU-IAS. Elizabeth Buettner (2016). Europe after Empire: Decolonization, Society, and Culture. Cambridge: Cambridge University Press. Esmaeil Zeiny (2018). Spokesmen of Intellectual Decolonization: Shariati in Dialogue with Alatas, in Dustin J. Byrd & Seyed Javad Miri. 2018. Ali

Shariati and The Future of Social Theory: Religion, Revolution and The Role of the Intellectual. Leiden: Brill. Gennaro Ascione (2016). Science and the Decolonization of Social Theory: Unthinking Modernity. London: Palgrave Macmillan. James D. Le Seur ed. (2003). The Decolonization Reader. London: Routledge. Linda Tuhiwai Smith (2007). Decolonizing Methodologies: Research and Indigenous Peoples. London & New York: Zed Books Ltd. Prasenjit Duara ed. (2004). Decolonization: Perspectives from Now and Then. London: Routledge. Ron Eyerman & Giuseppe Sciortino (2020). The Cultural Trauma of Decolonization: Colonial Returnees In The National Imagination. Switzerland: Palgrave Macmillan. Todd Shepard (2015). Voices of Decolonization: A Brief History with Documents. Boston: Bedford/St. Martin’s. Osman Bakar (2007). Environmental Wisdom for Planet Earth: The Islamic Heritage. Kuala Lumpur: Center for Civilizational Dialogue, University of Malaya.

BAB 10

KAJIAN KES TERPILIH

Noor Hisham Md Nawi



HASIL PEMBELAJARAN • Menjelaskan isu-isu semasa yang berlaku dalam dan luar negara serta hubungannya dengan aliran pemikiran yang melatari setiap satunya. • Mendedahkan asal usul pemikiran di sebalik setiap isu yang berlaku dan saling kaitan antara setiapnya. • Menganalisis isu-isu berkaitan berpandukan kepada prinsip agama, falsafah, sejarah dan dasar utama agama negara khususnya Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaaan.



PENDAHULUAN Bab ini akan menjelaskan beberapa isu terpilih yang berlaku dalam dan luar negara serta hubungannya dengan aliran pemikiran yang mendasari setiap satunya. Isu-isu tersebut memberi impak yang tersendiri kepada rakyat Malaysia dan manusia sejagat keseluruhannya. Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, setiap isu tersebut perlu dilihat dari perspektif tersendiri dengan menjadikan agama, falsafah dan dasar negara serta prinsip nilai hidup yang tinggi sebagai teras untuk membuat sesuatu keputusan yang tepat. Antara dasar dan prinsip penting yang perlu difahami dengan baik oleh setiap siswa dan warganegara Malaysia ialah Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Melalui lensa kedua-duanya, mereka seharusnya mampu menangani setiap isu dan cabaran yang datang sama ada dari dalam atau luar negara dengan cara yang berhemah, bijaksana dan efisien.



ISU ALAM SEKITAR DAN EKOLOGI

Isu alam sekitar merupakan masalah utama yang dihadapi oleh manusia secara global dan turut melibatkan negara kita. Antara isu utama yang hangat dibincangkan ialah perubahan cuaca akibat daripada pemanasan global dan pencemaran alam sekitar yang tidak berkesudahan. Pencemaran alam bemaksud perubahan yang tidak dikehendaki ke atas ciri-ciri fizikal dan biologi sama ada daripada air, udara dan tanah yang boleh membahayakan manusia dan juga spesis-spesis kehidupan yang lain. Faktor utama kepada krisis alam sekitar ialah sikap manusia yang rakus mengeksploitasi alam tanpa batas dan sikap tidak bertanggungjawab. Manusia tanpa malu dan rasa bersalah telah mengotorkan alam ini dengan pelbagai perkara sisa seperti sampah, plastik yang tidak mudah terurai, toksik, sisa radioaktif dan pelbagai lagi. Krisis ini juga disebabkan oleh sikap manusia yang mengambil mudah semua perkara dan hanya mementingkan diri melalui aktiviti pembangunan yang tidak seimbang dan lestari yang menyebabkan berlakunya pencemaran di darat, laut dan udara. Krisis alam dan ekologi yang dihadapi oleh masyarakat dunia pada masa kini ada kaitannya dengan dua orang pemikir Barat yang masyhur iaitu Rene Descartes (1596-1650) dan Isacc Newton (1642-1727). Aliran pemikiran yang dibawa oleh kedua-duanya telah membentuk paradigma Cartesian-Newtonian. Paradigma ini ditegakkan atas dasar andaian kosmologi bahawa alam raya ini adalah sebuah mesin raksasa yang mati, tidak bernyawa dan statik. Bukan alam saja, bahkan segala sesuatu yang berada di luar kesedaran subjek termasuk tubuh manusia dianggap sebagai mesin yang bekerja menurut hukum-hukum matematik yang bersifat kuantitatif. Berdasarkan paradigma ini, alam semesta dipandang sebagai mesin yang mati tanpa makna simbolik dan kualitatif, tanpa nilai dan roh, tanpa cita rasa etika dan estetika. Alam ini betul-betul hampa dan kosong daripada nilai kerohanian. Kesan daripadanya, sebahagian daripada

masyarakat Barat enggan mengurangkan kegiatan ekonomi mereka ke atas bumi yang boleh membinasakan alam sekitar atas dasar mereka berhak melakukannya. Daripada huraian tersebut, dapat difahami bahawa krisis alam dan ekologi yang sedang terjadi dewasa ini merupakan implikasi yang bersambungan dengan pandangan dunia Barat (world view) terhadap alam seperti budaya materialisme, antroposentrisme, utilitarianisme, sekularisme dan kapitalisme. Malangnya manusia dari belahan dunia lain termasuk negara kita seolah-olah mengambil aliran pemikiran tersebut dan mempraktikkannya dalam kehidupan sehingga berlaku krisis alam yang teruk seperti pencemaran air di Sungai Kim-Kim, Johor dan pencemaran bauksit di Pahang. Isu pencemaran di Malaysia membuktikan bahawa masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai nilai yang betul dan kesedaran yang tinggi untuk menamatkan krisis ini. Dalam mendepani isu ini, apakah aliran pemikiran dan falsafah yang perlu diikuti oleh setiap warga Malaysia untuk memastikan krisis ini tidak lagi berlanjutan? Para pelajar disaran untuk membincangkan isu ini secara serius dengan mengambil kira asas pegangan agama, falsafah hidup dan ilmu sains moden.



ISU HAK ASASI MANUSIA

Hak kemanusiaan merujuk kepada hak yang dimiliki oleh semua insan. Konsep hak kemanusiaan adalah berdasarkan andaian bahawa semua insan memiliki satu bentuk hak yang sama tanpa dipengaruhi oleh faktor tempatan, perkauman dan kewarganegaraan. Pada lazimnya,  hak asasi manusia (HAM) adalah berdasarkan kepada perisytiharan yang dibuat oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  (UN) pada  10 Disember  1948. Perisytiharan ini yang dikenali sebagai  Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat  (UDHR) membahagikan HAM kepada empat kebebasan utama iaitu:

1. kebebasan daripada ketakutan 2. kebebasan untuk berkemahuan 3. kebebasan hak untuk bersuara 4. kebebasan kepercayaan.

Pada dasarnya, hak kemanusiaan boleh difahamkan dari dua sudut iaitu perundangan dan juga moral. Dari segi perundangan, hak ini merupakan satu bentuk hak yang dinikmati oleh seorang warganegara seperti apa yang telah termaktub dalam  undang-undang  negara berkenaan. Penakrifan hak kemanusiaan dari segi undang-undang adalah berbeza dari satu  negara  ke satu negara yang lain. Dari segi moral, hak kemanusiaan merupakan satu tanggapan moral yang didukung oleh anggota masyarakat walaupun ia tidak termaktub dalam undang-undang. Keabsahan isi kandungan hak kemanusiaan telah menjadi isu pendebatan dalam bidang  falsafah dan sains politik. Dari segi perundangan, hak kemanusiaan telah termaktub dan diberi takrifan dalam  undang-undang antarabangsa dan sesetengah negara. Walau bagaimanapun, kaedah pelaksanaannya memperlihatkan kepelbagaian. Dalam menentukan hak asasi manusia, adakalanya UDHR gagal mengambil kira konteks keagamaan dan budaya setempat dalam peradaban manusia khususnya peradaban Islam. Malaysia juga tidak terkecuali kerana beberapa artikel UDHR bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia dan syariat Islam. Sebahagian HAM menurut perspektif UDHR tidak selari dengan perspektif agama Islam. Menurut perspektif Islam, HAM adalah satu bentuk anugerah Allah SWT yang selari dengan fitrah kejadian insan dan merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Satu prinsip penting dalam pemahaman ini adalah hak yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia ada batasannya. Hak tersebut juga mesti bertunjangkan prinsip keadilan dan penegasan kepada usaha pencapaian objektif syariah iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Manakala HAM dari perspektif Barat lebih cenderung kepada konsep kedaulatan dan kebebasan individu semata-mata. Bagi golongan ini, kebebasan individu bersifat

mutlak dan lazimnya mengatasi kepentingan manusia sejagat. Daripada kefahaman inilah lahir pelbagai corak kehidupan manusia moden yang seolah-olah membawa ketamadunan manusia ke belakang dan mengulangi kesilapan yang lampau. Dalam konteks Malaysia, pihak yang bertanggungjawab dalam isu HAM ialah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang ditubuhkan oleh Parlimen di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597. Seksyen 2 akta ini mentakrif HAM sebagai merujuk kepada “kebebasan asas sebagaimana yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan”. Antara fungsi SUHAKAM adalah menasihati dan membantu kerajaan dalam merumuskan perundangan dan arahan serta tatacara pentadbiran dan mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil. Oleh itu, sebarang syor hak asasi yang hendak diterima pakai dan dilaksanakan (atau ditolak dan tidak dilaksanakan) mestilah dipastikan selaras dan mematuhi undang-undang serta adat dan tradisi di Malaysia di samping mengambil kira instrumen HAM antarabangsa. Secara keseluruhannya, isu HAM sangat penting dan perlu terus diperjuangkan di Malaysia berdasarkan acuan tempatan. Antara isu-isu hak asasi manusia yang dinyatakan dalam laporan negara tentang amalan HAM 2018 di Malaysia ialah laporan pembunuhan yang menyalahi undangundang; gangguan sewenang-wenang atau menyalahi undang-undang terhadap privasi; penapisan, sekatan laman internet, dan penyalahgunaan undang-undang fitnah jenayah; gangguan yang banyak terhadap hak perhimpunan aman dan kebebasan persatuan; rasuah; layanan terhadap golongan transgender dan aktiviti seksual sesama jantina; buruh kanakkanak; dan pemerdagangan orang. Demikian juga isu ICERD yang hangat dibincangkan pada tahun 2019. Sebagai seorang warganegara Malaysia yang berpendidikan dan matang, apakah aliran pemikiran dan falsafah yang perlu dipegang dalam menangani isu-isu HAM di Malaysia? Para pelajar disaran untuk membincangkan isu ini secara jujur dengan mengambil kira asas pegangan agama, falsafah dan situasi semasa yang berlaku dalam negara.



GLOBALISASI, REVOLUSI INDUSTRI 4.0 DAN JATI DIRI BANGSA

Globalisasi adalah satu fenomena yang menjadikan dunia semakin kecil dari segi perhubungan disebabkan oleh kepantasan teknologi maklumat. Ia adalah satu proses interaksi dan integrasi seluruh dunia yang popular dengan istilah ‘dunia tanpa sempadan’. Globalisasi boleh berlaku dalam pelbagai dimensi seperti globalisasi politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan dan teknologi. Globalisasi mempunyai kesan positif dan negatif sama ada dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Antara dimensi globalisasi terpenting dan paling berpengaruh adalah bidang ekonomi. Walaupun ia memberi banyak kebaikan kepada manusia, namun kesan negatif daripadanya juga adalah besar. Punca utama kesan negatif tersebut ialah sifat dan ciri kapitalisme yang menjadi teras kepada globalisasi berkenaan. Globalisasi digunakan oleh pihak negara kapitalis Barat khususnya Amerika untuk menguasai ekonomi dunia dengan menggunakan pelbagai agensi ekonomi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF). Melalui dasar liberalisasi ekonomi, negara-negara membangun dikawal dan ditekan dengan kemasukan modal asing tanpa batas. Kuasa-kuasa kapitalis berlumba-lumba meningkatkan hasil pengeluaran dan kemudiannya mengukuhkan cengkaman ekonomi dan terbinalah kuasa imperialis dalam bentuk baharu. Negara China juga melakukan perkara yang hampir sama. Dari segi keagamaan, globalisasi ini telah menumbuhkan faham pluralisme agama yang terbahagi kepada sekurang-kurangnya dua aliran yang berbeza iaitu faham Teologi Global dan faham Kesatuan Transenden Agama-agama. Sebagai contoh, aliran pertama berpendapat bahawa kesemua unsur-unsur global iaitu dunia dicirikan tanpa batas geografi, kebudayaan, ideologi, teologi dan kepercayaan perlu dilebur atau disesuaikan dengan tuntutan zaman moden. Kelompok ini juga percaya bahawa agama-agama itu berevolusi dan akan saling mendekati yang

akhirnya tidak akan ada lagi perbezaan antara satu sama lain atau dengan kata lain ia melebur menjadi satu. ‘Framework’ yang digunakan dalam program tersebut tentunya beracuan Barat. Manakala revolusi industri pula adalah satu perubahan yang berlaku secara besar-besaran dalam bidang pertanian, pembuatan, pengangkutan dan teknologi serta memiliki kesan yang mendalam terhadap keadaan sosial, ekonomi dan budaya dunia. Ia bermula dengan revolusi pertama pada abad ke-18 yang ditandai dengan penemuan mesin wap yang digunakan dalam proses penghasilan barangan. Revolusi 2.0 pula terjadi pada awal abad ke-20 dengan penemuan tenaga elektrik. Manakala revolusi 3.0 dikaitkan dengan penemuan teknologi komputer dan robot. Akhirnya manusia kini berada pada era revolusi industri 4.0 (RI 4.0) yang menemukan pelbagai teknologi baharu seperti  teknologi robotik, objek rangkaian internet (IoT), kepintaran buatan (AI), data analitik, pemprosesan imej, perisian, sistem komunikasi mudah alih, keselamatan siber, simulasi dan integrasi sistem digital. Globalisasi dan RI 4.0 memberi kesan yang besar khususnya dalam bidang pendidikan seperti impaknya kepada kehidupan pelajar masa kini dan juga kepada pihak pengurusan institusi pendidikan. Antara kesan positif fenomena tersebut ialah pemesatan perkembangan ilmu pengetahuan, penggunaan teknologi dan inovasi baharu dalam pengajaran dan pembelajaran serta kesamarataan peluang pendidikan secara formal dan bukan formal. Namun pada masa yang sama, ia juga memberi impak negatif dari sudut pengkomersialan pendidikan, peminggiran bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu dan perubahan gaya hidup yang terpengaruh dengan amalanamalan negatif. Antara cabaran yang perlu diberi perhatian ialah ketagihan manusia kepada teknologi seperti telefon pintar dan internet yang menyebabkan mereka sentiasa berada dalam lingkungan maya yang akhirnya mengikis nilai-nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat. Kebijaksanaan amat diperlukan untuk mendepani isu globalisasi dan RI 4.0 agar jati diri bangsa yang bermaruah tinggi dan merdeka dapat terus dipertahankan dan pada masa yang sama turut mengambil manfaat daripada perkembangan yang berlaku. Antara permasalahan yang perlu dihadapi

seluruh warga Malaysia rentetan daripada fenomena tersebut ialah isu PPSMI, konsep kewarganegaraan global, ketagihan teknologi digital, aliran pluralisme dan liberalisme dalam kehidupan. Sebagai generasi baharu, apakah asas pemikiran dan falsafah yang perlu dipegang dalam menangani fenomena tersebut? Sila bincang isu ini secara jujur dengan mengambil kira asas pegangan agama, falsafah dan perkembangan teknologi semasa yang berlaku dalam negara.



PENUTUP

Bab ini hanya mengemukakan tiga isu yang dianggap paling asas untuk dibincangkan secara serius, jujur dan berani berasaskan perkara yang telah dipelajari sebelumnya. Meskipun hanya tiga isu yang dibentangkan, ia boleh dikembangkan lagi dengan puluhan isu yang berlaku sama ada dalam dan luar negara. Berfikir dengan menjadikan falsafah sebagai wasilah akan menjadikan setiap orang berani untuk menganalisis sesuatu perkara dengan radikal, menyeluruh, integral dan jujur demi untuk mencari kebenaran dan berpegang teguh kepadanya



LATIHAN

1. Apakah aliran pemikiran dan prinsip yang perlu dipegang oleh semua warganegara Malaysia untuk menyelesaikan krisis alam sekitar dan ekologi sebagaimana yang berlaku di Sungai Kim Kim? 2. Bincangkan pandangan anda terhadap isu rasuah, golongan transgender dan ICERD dalam konteks hak asasi manusia dengan mengambil kira asas agama, sejarah negara dan situasi semasa yang sedang berlaku. 3. Nyatakan pandangan anda terhadap konsep kewarganegaraan global, ketagihan teknologi digital dan aliran pluralisme agama berasaskan pegangan agama, Falsafah Pedidikan Kebangsaan dan Rukun Negera.



RUJUKAN

Copenhagen Declaration. (2010). The United Nations Climate Change Conference in Copenhagen. http://unfccc.int/meetings/cop_15/items/5257.phphttp://unfccc.int/meetin gs/cop_15/items/5257.php [17 Januari 2010]. Hashim Makamddin, (ed.). (2000). Democracy, Human Rights, EAEC and Asian Values: SelectedSpeeches by D,: Mahathir Mohamad, Prime Minister of Malaysia. Subang Jaya: Pelanduk Publications Sdn. Bhd:. Kamaruddin Ilias, Mubin Md Nor, Che Aleha Ladin, Suhaidah Tahir, Roshidah Abdul Rahman, Fauziah Hanim Abdul Latif (2018). Knowledge of soft skills in industry revolution 4.0. IRCon 2018: International Research Conference. Jose Maria College, Davao City, Philippines Mittelman, J.H. (1996). The dynamics of globalization Dalam Globalization : Critical reflections. Boulder Co : Lynne Reinner. Mohd Azizuddin Mohd Sani (2002). Hak Asasi Menurut Pandangan Islam dan Barat. Kuala Lumpur: PTS Publication & Distributor Sdn. Bhd. Saari Sungib (2011). Islam Demokrasi dan Hak Asasi Manusia. Selangor: Kemilau Publika Sdn Bhd, h.20 Zaini Ujang (2008). “Dasar alam sekitar Malaysia: The Way Forward”. Kertas Seminar Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI).

BAB 11

RUMUSAN DAN PENUTUP

Noor Hisham Md Nawi



PENDAHULUAN

Bab ini adalah rumusan kepada keseluruhan 10 bab sebelumnya. Dari segi kandungan, modul ini berusaha untuk mengikuti semua tajuk yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia. Walau bagaimanapun terdapat beberapa tajuk yang ditambah baik dan dikembangkan oleh pihak penulis dengan memasukkan beberapa aspek tambahan yang dikira relevan dengan perkembangan semasa.



RUMUSAN DAN KESIMPULAN

Modul ini dihasilkan dengan kerjasama sejumlah penulis yang bersetuju untuk mematuhi format yang telah ditetapkan. Modul ini seharusnya ringkas, padat dan berkesinambungan antara setiap sub tajuk, tajuk dan bab. Perincian bagi setiap tajuk tidak dinyatakan untuk memberi kebebasan kepada pensyarah dan para pelajar mengolah, membincang dan mengembangkan tajuk yang disusun secara meluas, kritikal dan analitikal. Walau bagaimanapun, pensyarah dan pelajar akhirnya akan dipandu oleh dua konsep penting iaitu Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Modul ini dimulakan dengan memberi pendedahan kepada para pembaca tentang konsep falsafah yang dipermudahkan. Konsep itu kemudian diperkukuhkan dengan kefahaman mengenai Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan konsep Rukun Negera. Untuk mengikat kesemua perbincangan tersebut, konsep sejahtera diri dan insan yang baik diperkenalkan untuk dibincangkan secara mendalam oleh para pelajar. Bab

pendahuluan ini sangat penting kerana ia menjadi teras kepada keseluruhan baki bab yang lain. Perbincangan diteruskan dengan memperkenalkan kepada pembaca konsep berfikir dan kepelbagaian kaedah berfikir. Pembaca juga dibekalkan dengan tajuk falasi berfikir untuk membantu mereka mengesan atau mengenal pasti kesalahan berfikir yang sering dilakukan oleh masyarakat awam dan juga pelajar. Bab ini juga berusaha untuk mengembangkan cara berfikir ala falsafah bukan hanya kepada pelajar di peringkat pengajian tinggi bahkan juga pihak komuniti dan masyarakat awam. Bab seterusnya membincangkan konsep metafizik sebagai komponen pertama dalam falsafah. Tumpuan diberikan kepada konsep asal usul insan, hakikat dan sifat insan serta potensi yang wujud pada kejadiannya. Dengan lain perkataan, manusia perlu mengenali dirinya terlebih dahulu sebelum mampu menyelesaikan segala permasalahan asas yang timbul dalam kehidupan. Nilai dan sikap manusia melihat diri dan hala tuju kehidupannya sangat mempengaruhi cara mereka bertindak dan membuat sebarang keputusan. Bagi mengukuhkan lagi premis sebelumnya, pembaca didedahkan secara sistematik antara hubungannya sebagai manusia dengan aspek-aspek lain dalam kehidupan khususnya dengan Tuhan dan alam sekeliling. Dari aspek ini, pembaca diperkenalkan dengan sistem kepercayaan dan hubungan manusia dengan Tuhan dari pelbagai perspektif. Bertolak dari sini, pembaca dibimbing untuk mengaitkannya dengan makna dan konsep kemajuan dan pemodenan. Bab berikutnya mula membincangkan komponen epistemologi yang memberi tumpuan kepada sumber ilmu dan tahap kebenaran sesuatu ilmu. Dalam bab ini juga, pembaca didedahkan dengan konsep revolusi sains pada abad ke-16 yang seterusnya melahirkan revolusi industri 1.0 hingga 4.0 pada masa kini. Seterusnya pembaca dibimbing untuk memahami teori kebenaran, klasifikasi ilmu dan hubungan antara epistemologi dengan kemajuan serta kaitannya dengan penjanaan ilmu baharu. Bab lapan membincangkan kepelbagaian bentuk ideologi yang melahirkan pelbagai aliran pemikiran. Antara aliran yang penting untuk

difahami adalah faham rasionalisme dan empirisisme yang membawa perubahan besar kepada perkembangan dunia Barat. Perubahan tersebut adalah kemajuan dan pemodenan di Barat yang terkandung bersamanya faham sekularisme yang merosakkan peradaban Timur. Walau bagaimanapun, dengan perkembangan terbaru masa kini, cabaran pascamodenisme jauh lebih hebat dan mengelirukan. Antara cabaran utama aliran tersebut ialah munculnya fahaman baharu yang bercanggah dengan kesemua aliran sebelumnya seperti fahaman pluralisme-relativisme kebenaran, radikalisme etnik dan dekonstruktion. Aliran ini secara keseluruhannya adalah anti Tuhan dan mendatangkan pelbagai kecelaruan minda. Bab berikutnya pula membincangkan konsep dekolonisasi, sejarah perkembangan dan dampaknya kepada kehidupan. Konsep dan proses dekolonialisasi amat penting untuk membantu pelajar mempersiapkan diri bagi mendepani segala cabaran yang telah dibincangkan sebelumnya. Dekolonisasi pemikiran dan intelektual hanya akan berlaku jika kemahiran berfikir secara falsafah dibentuk, dibina, dipergiatkan dan diperjuangkan khususnya dalam kalangan komuniti akademik di institusi pengajian tinggi. Hal ini dapat dibuktikan apabila pelajar dapat mengaplikasikan isu-isu terpilih yang telah disusun pada bab ke-10. Dalam bab tersebut, para pelajar diminta untuk memilih dan membincangkan mana-mana isu utama atau sub isu rentetan daripadanya berpandukan kefahaman yang diperolehi sebelumnya. Pelajar juga disaran untuk membincangkannya secara terbuka, berani, telus, jujur dan beradab dalam usaha mencari solusi terbaik dalam konteks negara kita. Kesemua perbincangan tersebut seharusnya bersambungan dengan kerangka besar Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Rukun Negara dalam erti kata yang luas dan menyeluruh.



PENUTUP

Adalah menjadi harapan semua penulis modul ini agar pelajar dapat memanfaatkannya sebaik mungkin dan mencapai objektif yang telah

ditetapkan dalam setiap bab dan juga matlamat keseluruhan kursus ini. Aplikasi modul ini adalah mencabar dan dinamik tetapi menyeronokkan. Semoga Allah merahmati kita semua.

GLOSARI

Antroposentrisme : kepercayaan bahawa manusia adalah entiti atau faktor yang paling penting dalam alam semesta.

Dekonstruktif : faham yang mencabar teori moden mahupun ajaran agama yang telah mampan dan mengingkari kewujudan kebenaran tunggal yang mutlak.

Empirisisme: pengetahuan manusia berasal daripada pengalaman manusia iaitu dunia luar yang ditanggap oleh pancaindera

Episteme : pengetahuan yang ada hubungannya dengan alam nyata dan alam metafizik.

Eurosentrik : berpusatkan atau berpaksikan cara dan gaya orang Eropah atau berkecenderungan untuk menafsirkan dunia dengan nilai Barat atau pengalaman Eropah

Falasi : kenyataan yang merupakan salah anggapan atau taakulan yang salah

Kapitalisme : sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh individu tanpa gangguan kerajaan dan bermatlamatkan keuntungan.

Kenisbian : sesuatu yang relatif atau tidak mutlak

Komunisme : ideologi politik dan struktur sosio ekonomi yang

menggalakkan penubuhan masyarakat yang egalitarian dan tanpa kelas berdasarkan pemilikan dan kawalan sama ke atas faktor pengeluaran dan harta secara umumnya.

Maqasid syariah : tujuan atau makna yang dikehendaki syarak melalui sumber dalilnya ( al-Quran dan al-Sunnah) yang mesti diusahakan untuk dicapai

Marxisme : teori politik dan ekonomi Karl Marx yg memperjuangkan kesamaan taraf manusia (masyarakat tanpa kelas atau kasta) dan percaya bahawa kapitalisme akhirnya diambil alih oleh sosialisme.

Materialisme : sejenis fahaman falsafah yang mendakwa bahawa satusatunya perkara yang benar ialah bahan berjirim atau fahaman yang mempercayai bahawa hanya jasad saja yang wujud di alam ini.

Penalaran : sebuah pemikiran untuk menghasilkan suatu kesimpulan

Pendekatan abduktif : menunjukan suatu kesimpulan dari sebuah teori yang sudah jelas kebenarannya dari sebuah pengamatan atau penyelidikan yang telah dilakukan berdasarkan kepada pemikiran yang paling masuk akal.

Realisme : fahaman yang menyatukan aliran positivisme dan idealisme. Faham ini menggunakan metode induktif dan deduktif serta analisis dan sintesis

Relativisme : faham bahawa kebenaran nilai moral dan sebagainya tidak semestinya mutlak tetapi mungkin berbeza antara individu atau kebudayaan

Sekularisme : faham yang menolak nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan sosial manusia

Sophist (sufastaiyyah) : satu golongan yang meyakini bahawa tiada kebenaran mutlak atau golongan relativis kebenaran

Utilitarianisme : teori politik dan moral yang menyatakan bahawa matlamat semua peraturan hidup yang baik ialah untuk mencapai kebahagian hidup yang paling tinggi bagi seberapa ramai orang yang mungkin, dan tindakan yang dianggap benar atau salah adalah atas dasar sama ada tindakan itu membantu atau menghalang pencapaian matlamat ini.

BIODATA PENYELENGGARA



Noor Hisham Md Nawi merupakan pensyarah kanan di Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah (PBI), Universiti Malaysia Kelantan. Menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Muda dalam bidang Ilmu Wahyu dan Warisan Islam di UIAM, ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi (Kaunseling) dan ijazah Kedoktoran Falsafah dalam bidang Pendidikan (pembangunan kurikulum) di UKM. Bidang kepakaran beliau adalah pembangunan kurikulum dan pendidikan bersepadu. Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Unit Pengajaran dan Pembelajaran di UMK, tenaga pakar penggubalan Kurikulum Pendidikan Islam Malaysia-Indonesia, tenaga pakar Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan, panel sidang pakar Dasar Keluarga Mawaddah, Dasar Pembangunan Insan dan Dasar Pembangunan Belia Negeri Kelantan. Beliau bergiat aktif sebagai penceramah motivasi dan dilantik sebagai perunding kanan Akademi Bina Ummah. Antara penulisan beliau adalah Konseptualisasi Semula Kurikulum Pendidikan Islam, Perjuangan Pendidikan; Dari Kesepaduan ke Islamisasi, Sinergisme Pemikiran Islam Kritis Kreatif, Wacana Falsafah Ilmu, Makna Nilai Dalam Kehidupan dan Sinergisme Wakaf Pendidikan Tinggi Dan Keusahawanan Sosial Islam.